Friday, December 14, 2007

Akhirnya Pak Lah guna ISA.

Assalamualaikum.

Lima ditahan ISA -- *Pemimpin Hindraf gugat keselamatan awam *PM puas hati bukti polis.
KUALA LUMPUR 13 Dis. – Lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang mendalangi perhimpunan haram dan mencetuskan ketegangan dengan membangkitkan isu perkauman ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hari ini.
Mereka ialah empat peguam yang menjadi penasihat undang-undang Hindraf iaitu P. Uthayakumar, 46, M. Manoharan, 46, R. Kengadharan, 40, dan V. Ganabatirau, 34, serta penyelarasnya, T. Vasanthakumar, 34, yang bertugas sebagai Eksekutif Kanan Malaysia Building Society Berhad (MBSB).
Penahanan itu dilakukan mengikut Seksyen 8 (1) akta tersebut yang membolehkan mereka ditahan sehingga dua tahun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam kenyataannya di ibu negara petang ini memberitahu, Uthayakumar, Vasanthakumar dan Manoharan ditahan di ibu negara, Kengadharan di Petaling Jaya dan Ganabatirau pula di Seremban.
Menurutnya, Kengadharan ditahan pada pukul 12.30 tengah hari di Jalan SS2/55 Petaling Jaya, diikuti Manoharan (1.55 petang di Jalan Pantai Baru di sini), Vasanthakumar (2 petang di sebuah restoran di Brickfields), Ganabatirau (2.10 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Seremban) manakala Uthayakumar (2.30 petang di firma guamannya di Menara Mutiara, Bangsar).
“Kesemua mereka telah dihantar ke pusat tahanan ISA di Kem Tahanan dan Perlindungan Kamunting, Taiping untuk menjalani perintah tahanan serta-merta,”

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom memberitahu, Perdana Menteri berpuas hati dengan laporan daripada pihak polis yang membuktikan mereka menjalankan aktiviti menghasut serta menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Pada masa yang sama, kata beliau, Abdullah mengarahkan pihak polis meningkatkan kawalan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang tercetus ekoran penahanan mereka.
Beliau yang dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, Perdana Menteri turut mengarahkan polis mengesan dan menahan sesiapa sahaja di bawah ISA jika terbukti menjadi pencetus kekecohan dan menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam. Utusan Malaysia - 14 Disember 2007.


Jika tuan-tuan masih ingat dalam akhbar The Star bertarikh 22 Oktober 2007 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok pernah mengatakan bahawa zaman Pak Lah sebagai Perdana Menteri tiada siapapun yang pernah ditahan bawah ISA. Namun kenyataan Bernard Dompok ini telah disanggah oleh GMI sendiri yang menyifatkan kenyataan itu sebagai satu pembohongan.

Jika tuan-tuan ikuti pula perkembangan selepas perhimpunan HINDRAF di Kuala Lumpur baru-baru ini, ramai yang mahu agar kumpulan ini ditahan di bawah ISA atas sebab menimbulkan kekacauan kepada negara dan sebagai reaksi kepada desakan tersebut Pak Lah kononnya mengatakan bahawa kalau boleh beliau tidak mahu menggunakan ISA sebagai jalan penyelesaian.

Namun hari ini semua itu hanyalah sandiwara dan pembohongan semata-mata apabila Pak Lah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri menahan lima pemimpin HINDRAF di bawah akta zalim ISA. Malahan bapa mertua Khairy ini terus menzahirkan kerakusannya apabila mengarahkan pihak polis menahan siapa sahaja bawah ISA jika didapati bertindak mengancam keselamatan negara.

Sekali lagi ingin saya tegaskan di sini bahawa saya bukanlah penyokong HINDRAF malahan saya tidak setuju dengan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh HINDRAF. Namun kita tetap tidak setuju ISA digunakan kepada mereka walaupun mereka ini tidak sealiran dengan kita. Jika kita menentang penahanan pemimpin Pas bawah ISA, begitulah juga kita tidak mahu pemimpin HINDRAF ditahan bawah ISA, malahan kita juga tidak setuju ahli Umno sendiri ditahan bawah ISA.

Begitulah dengan tuduhan yang berkaitan dengan pengganas atau militan. Jika kita menolak tuduhan bahawa ada ahli-ahli Pas terlibat dengan kegiatan militan, maka kita juga tidak akan percaya bahawa HINDRAF mempunyai hubungan dengan kumpulan gerila Tamil Ealam di Sri Lanka selagi ianya tidak dibuktikan. Kerana kita tahu itu hanyalah helah untuk menghalalkan mereka menggunakan ISA.

Di sini jika benar-benar kerajaan dan polis mempunyai bukti kukuh untuk mengheret mereka ke mahkamah mengapa tidak terus dibicarakan sahaja mereka ke muka pengadilan? Mengapa harus menggunakan tahanan tanpa bicara? Nampaknya jelaslah di sini bahawa Pak Lah dan kerajaan BN sekarang ini amat terdesak hingga sanggup menggunakan akta zalim ini demi kepentingan politik mereka. Sedangkan Pak Lah lupa bahawa dia tidak akan selama-lama hidup dan terus berkuasa di dunia ini. Beliau juga suatu hari nanti akan mengadap Allah bersama-sama dengan kezaliman yang telah dilakukannya.

posted by Lidah Penghunus @ 6:42 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter