Thursday, December 06, 2007

Pilihanraya Malaysia bebas?

Assalamualaikum.

Satu laporan hasil kaji selidik dua badan antarabangsa iaitu TNS dan Gallup International mendapat tempat di muka hadapan akhbar Berita Harian(1) hari ini apabila ianya menyatakan bahawa pilihanraya di negara ini bebas dan adil.

Pilihan raya Malaysia bebas.
Kajian dua badan antarabangsa dapati rakyat yakin proses pengundian adil
KUALA LUMPUR: Satu kajian oleh dua badan antarabangsa mendapati proses pilihan raya di Malaysia paling bebas dan adil di kalangan negara Asia.
Hasil kaji selidik oleh TNS dan Gallup International mendapati rakyat negara ini bukan saja antara penyokong kuat demokrasi di Asia, malah mempunyai keyakinan paling tinggi bahawa pilihan raya yang dijalankan di Malaysia adalah bebas dan adil.
Kajian itu dijalankan antara Jun hingga Ogos lalu membabitkan 60,000 rakyat di 56 negara Asia. Di Malaysia, kajian yang dilaksanakan secara bersemuka itu bermula dari 2 Julai hingga 5 Ogos lalu membabitkan 1,250 penduduk bandar di Semenanjung.
Dalam jawapan berhubung soalan sama ada pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil, Malaysia mencatat 74 peratus, manakala 69 peratus menyatakan negara ini ditadbir mengikut kemahuan rakyat.
Kedua-dua peratusan itu adalah yang tertinggi dalam senarai 10 negara Asia. Singapura masing-masing mencatat 66 peratus dan 47 peratus, Indonesia (58 peratus dan 37 peratus), Hong Kong (51 peratus dan 57 peratus), India (55 peratus dan 55 peratus), Korea Selatan (55 peratus dan 19 peratus), Jepun (50 peratus dan 29 peratus), Filipina (22 peratus da 42 peratus) dan Pakistan (16 peratus dan 19 peratus). Berita Harian - 6 Disember 2007.


Dalam kajian tersebut menunjukkan pilihanraya di Malaysia lebih baik daripada negara-negara asia yang lain antaranya. Namun apa yang kita lihat negara kita Malaysia daripada selepas merdeka dahulu tidak pernah bertukar parti pemerintah di peringkat persekutuan. Sedangkan negara asia lain yang dikatakan pilihanrayanya tidak secemerlang Malaysia telah banyak kali mengalami perubahan parti pemerintah.

Indonesia sendiri setelah gelombang kebangkitan rakyat pada tahun 1998, negara berkenaan kini lebih mudah rakyatnya menukar parti pemerintah. Ianya menanda iklim demokrasi dan pilihanraya negara berkenaan yang baik. Ini ditambah pula dengan media masa negara berkenaan yang bebas dan memberi peluang kepada semua parti politik yang bertanding untuk berkempen.

Perkara ini tidak bagi Malaysia. Pembangkang tidak berpeluang untuk berkempen di televisyen dan radio. Media perdana hanya dikuasai parti pemerintah. Rakyat disogok dan juga diugut setiap kali menjelang pilihanraya. Akibatnya setiap kali pilihanraya Barisan Nasional juga yang akan menjadi parti pemerintah. Jadi kita hairan bagaimana badan antarabangsa ini boleh mengatakan bahawa pilihanraya di Malaysia bebas malahan mendahului negara asia yang lain.

Satu lagi kaji selidik ini dibuat dengan mengambil pandangan daripada jumlah 1250 rakyat Malaysia di semenanjung. Sedangkan jumlah peserta himpunan BERSIH yang menuntut pembersihan pilihanraya pada 10 November lalu dikatakan mencecah lebih 200,000. Satu bilangan yang berkali-kali ganda daripada jumlah 1250 itu(2).


1. Saya tidak pasti mengapa ianya tidak dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia.
2. Daripada jumlah 1250 itu tidak semua kata pilihanraya Malaysia adil.

posted by Lidah Penghunus @ 6:34 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter