Tuesday, December 04, 2007

Nazri Aziz dan Zainuddin Maidin juara pengampu.

Assalamualaikum.

Bila timbulnya isu perarakan dan demonstrasi akhir-akhir ini terutama yang dianjurkan oleh BERSIH dan HINDRAF ini kita lihat begitu ramai sekali pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang mahu menjadi pengampu kepada bos mereka iaitu Pak Lah. Maklumlah pilihanraya umum sudah dekat. Namun apa yang saya lihat ada dua tokoh pengampu yang paling menyerlah dalam isu BERSIH dan HINDRAF ini iaitu Nazri Aziz dan Zainuddin Maidin(1).

Dalam akhbar hari ini kedua-dua orang pengampu ini(2) ternyata angkuh dan merasakan bahawa dirinya dan Barisan Nasional yang disertainya terlalu suci dan tidak pernah melakukan kesilapan apabila sesedap mulut menghina pertubuhan lain atas sesuatu kesalahan;

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau berpendapat pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) tidak perlu berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mereka telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang negara dengan menganjurkan perhimpunan haram di ibu negara bulan lepas.
Di Langkawi, Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin sependapat dengan Mohamed Nazri kerana pertubuhan itu tidak diiktiraf oleh sesiapapun.
“Bukan taraf seorang Perdana Menteri untuk bertemu dengan sebuah pertubuhan yang hina dan mempunyai taraf yang rendah kerana bertindak seperti samseng jalanan dengan melanggar undang-undang negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) di sini, hari ini.
Zainuddin berkata, bukanlah taraf bagi seorang Perdana Menteri untuk bertemu dengan golongan yang telah menimbulkan huru-hara dan menggunakan cara kekerasan untuk mengugut kerajaan. 4 Disember 2007.


Mereka ini tanpa mengunakan akal menghina dan merendah-rendahkan kumpulan yang didakwa melakukan kesalahan sedangkan mereka lupa bahawa mereka dan kumpulan merekalah yang telah banyak bergelumang dengan pelbagai kemungkaran selama memerintah negara ini. Di sini kita mahu tanya pula adakah mereka itu tidak hina apabila terlibat dengan pelbagai skandal penyelewengan dan salahguna kuasa, antaranya berkaitan permit teksi? Adakah mereka itu suci daripada dosa apabila media yang dikawal oleh kementerian berkenaan menipu dan memfitnah sesuka hati mereka?

Adakah Barisan Nasional dan Umno yang mereka sertai itu mulia apabila bertindak menindas rakyat, merampas hak rakyat, menghina agama Islam, menyuburkan maksiat dan kemungkaran? Adakah mereka menganggap kumpulan-kumpulan yang tidak sealiran dengan mereka sebagai hina dan tidak layak bertemu dengan pemimpin mereka yang kononnya suci itu? Dan jika begitu bermakna mereka juga menganggap Umno yang diasaskan oleh Dato' Onn sebagai hina kerana menganjurkan tunjuk perasaan terhadap pemerintah British.

Bagi saya Pak Lah sebagai Perdana Menteri bukan orang yang layak untuk rakyat mengadu nasib dan kesusahan mereka kerana Perdana Menteri kelima ini ternyata lemah dan gagal mendengar rintihan rakyat. Oleh kerana itulah pada 10 November yang lalu BERSIH mengambil keputusan untuk mengadu terus kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenaan masalah rakyat yang bersangkutan dengan pilihanraya. Maka kesimpulannya mereka yang dalam Barisan Nasional ini sebenarnya yang tidak layak untuk menjadi pemimpin kepada kita kerana bergelumang dengan pelbagai noda.


1. Tidak perlulah saya sebutkan pangkat atau kedudukan mereka kerana mereka ini tidak layak untuk diiktiraf.
2. Saya masih belum tergamak lagi untuk mengunakan penjodoh bilangan ekor. Bukan kerana takut dikaitkan dengan kemandulan minda dalam berbahasa, tetapi kerana kita bukanlah rendah taraf akhlak seperti mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 6:21 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter