Rashid SPR yang angkuh.
Assalamualaikum.
Dalam akhbar hari ini pengerusi SPR, Tan Sri Rashid sekali lagi mengulangi kenyataan angkuhnya untuk meletakkan jawatan jika terbukti terdapat penipuan dalam SPR;
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman meminta parti politik yang kalah pada pilihan raya umum kelak supaya tidak menuduh badan itu melakukan penipuan, sebaliknya menerima kekalahan kerana mereka tidak dipilih rakyat.
Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri tidak pernah meminta SPR membantu Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi pilihan raya umum ke-12. Abdul Rashid berkata, dalam pertemuannya beberapa kali dengan pemimpin nombor satu negara itu, Abdullah hanya meminta beliau menjalankan urusan SPR dengan adil dan saksama.
"Daripada menuduh SPR menipu dan berlaku tidak adil, yang kalah sepatutnya insaf dengan kesilapan mereka... mungkin kempen tidak menarik, program tidak menarik dan hilang kepercayaan rakyat.
"Jika benarlah berlaku penipuan dalam SPR, cuba buktikan dan saya rela letak jawatan jika terbukti. Saya sudah 25 tahun dalam bidang ini, jika mana-mana parti kalah bukanlah kerana SPR menipu tetapi tidak dipilih pengundi. Berita Harian - 3 Disember 2007.
Dan ini pula adalah pendedahan yang telah dibuat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkenaan bukti penipuan dan penyelewengan dalam pilihanraya;
* Pada tahun 1999, SPR mendakwa mereka tidak “mempunyai masa yang mencukupi” untuk meluluskan pendaftaran pengundi yang mendaftar pada Mei untuk pilihan raya pada November; kelulusan biasanya mengambil masa tiga bulan. Ini jelas sekali suatu usaha yang terancang untuk menafikan seramai 680,000 orang yang mendaftar pengundi baru ketika gelombang Reformasi.
* Pada tahun 2004, daerah mengundi yang tidak wujud ditemui. Di Gombak, wujud 2 daerah mengundi dengan nama yang sama (Kemensah 098/18/04) tetapi memberikan dua keputusan yang berbeza.
* Pada tahun 2004, rekod mencatatkan Ali bin Omar (No. K/P 280903-02-5057), bapa seorang pemimpin utama KeADILan hadir ke pusat membuang undi meskipun sudah meninggal dunia. Bukan sahaja itu, malah didapati beliau mengundi calon Barisan Nasional.
* Pada pilihan raya 2004, 37.6% daripada pengundi di kawasan Parlimen Lembah Pantai didapati mempunyai alamat yang tidak boleh dikesan. Menurut daftar pemilih sebuah kedai runcit beratap zink di Kampung Kerinchi memuatkan seramai 141 pengundi.
* Pada pilihan raya kecil Ijok pada tahun 2007, sebanyak 142 kertas undi tidak dipulangkan dari Peti Undi 4 daerah mengundi di Pekan Berjuntai Besari Utara. Ini timbul kerana amalan mengambil kertas mengundi kosong dan menjualnya kepada ejen yang akan menandakan kertas undi tersebut dan memberinya kepada pengundi lain yang akan membuang undi, dan membawa keluar kertas undi kosong dan mengulangi proses tersebut.
* Pada Oktober 2007, di kawasan Parlimen Ipoh Timur yang merupakan kubu pembangkang, didapati wujud 8,463 pengundi baru di dalam masa hanya tiga bulan. Sebelum ini Ipoh Timur mempunyai 48,000 pengundi berdaftar dan pembangkang menanginya dengan majoriti 9,774 undi. Dipetik daripada laman web http://www.suarakeadilan.com - 2 November 2007.
Apa yang kita lihat berkenaan bukti yang dikemukakan oleh Dato' Seri Anwar ini, Rashid tidak pula mengulas atau menjawab berkenaan dengannya. Sebaliknya terus mengulangi kenyataan angkuhnya demi mempertahankan kesilapan yang dilakukannya. Rashid mengatakan bahawa pembangkang kalah kerana kempen mereka tidak menarik dan mereka hilang kepercayaan daripada rakyat sedangkan sudah jelas setiap kali pilihanraya pembangkang tidak berpeluang untuk berkempen di media cetak dan televisyen seperti mana parti pemerintah.
Melihatkan kepada keadaan ini kita rakyat Malaysia percaya bahawa pengkhianat kepada rakyat ini akhirnya akan jatuh dengan hinanya kerana membiarkan dirinya diperalatkan oleh pemerintah yang zalim. Insya-Allah.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home