Monday, November 26, 2007

Cuba renungi mengapa mereka buat begitu.

Assalamualaikum.

Bercakap himpunan HINDRAF yang telah berlangsung semalam, di sini kita Pas jelas bahawa kita ada prinsip dan cara kita sendiri yang bergabung dengan pakatan BA dan NGO-NGO yang senada dengan kita dalam beberapa perkara. Maka kita berbeza dengan HINDRAF yang hanya memperjuangkan kumpulan mereka secara bersendirian itu. Tambahan lagi kita tetap tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang mereka bangkitkan. Namun begitu cuba kita sama-sama renungkan mengapa mereka bertindak sedemikian, mengapa kaum-kaum India yang hampir 10,000 ini sanggup turun berdemonstrasi tanpa menghiraukan amaran daripada pihak berkuasa. Sudah tentulah ada sebabnya mereka berbuat demikian.

Sebagaimana yang kita semua maklum bahawa kaum India di negara ini masih ramai lagi yang hidup dalam keadaan kemiskinan berbanding kaum-kaum lain. Ini melalui pemerhatian saya sendiri masih ada lagi kaum-kaum wanita mereka yang telah berusia yang terpaksa bekerja untuk menampung pendapatan keluarga. Sedangkan sepatutnya pada usia-usia sebegitu masa mereka dihabiskan dengan bermain dengan cucu di rumah. Apatah lagi ketika ini rakyat dihimpit dengan pelbagai kenaikan maka bertambah-tambah terhimpitlah hidup mereka ini. Oleh kerana tekanan-tekanan sebeginilah yang membuatkan mereka sanggup turun ke jalanraya, berhadapan dengan pelbagai kemungkinan untuk menyuarakan rintihan mereka yang dalam kemiskinan.

Maka sepatutnya kerajaan harus mengkaji balik mengapa mereka jadi begitu dan memperbetulkan apa yang tidak betul terutamanya yang bersangkutan dengan kos hidup rakyat. Kita percaya bahawa mereka tidak akan bertindak turun ke jalan-jalanraya jika kehidupan mereka sudah cukup selesa. Jika tuan-tuan masih ingat isu tuntutan Shiu Qiu, pada masa itu RTM telah menemuramah masyarakat Cina di Kelantan dan dalam temuramah itu masyarakat Cina Kelantan telah menasihatkan pertubuhan itu agar tidak membuat tuntutan sedemikian dan bersyukur dengan kehidupan mereka sekarang. Sebenarnya ianya menunjukkan bahawa masyarakat Cina di Kelantan yang ditadbir oleh Pas hidup dalam keselesaan hingga membuatkan meraka tidak perlu menuntut apa-apa daripada kerajaan. Di sini mungkin kita boleh membuat pemerhatian adakah masyarakat India di Kelantan juga turun pada himpunan semalam.

Sekaligus ini menunjukkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional khususnya MIC dalam membela nasib rakyat. MIC khususnya jika benar mereka kata kaum India sudah terbela di bawah mereka, mengapa hampir 10,000 kaum India ini turun berhimpun tanpa menghiraukan nasihat Presiden MIC. Dan jika kita lihat perkembangan terkini jumlah parti politik yang mewakili kaum India sudah bertambah menjadi empat apabila Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) di bawah Datuk S. Nallakaruppan ditubuhkan sekaligus menggambarkan bahawa MIC sememangnya gagal untuk membela kaum India.

Seperti kebiasaan apabila timbulnya demonstrasi yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah ini, maka media-media perdana sekai lagi akan menjadi 'anjing'(1) kepada parti pemerintah. Pelbagai tohman akan dilemparkan oleh mereka tanpa mahu mengkaji apa sebabnya mereka ini berdemonstrasi. Pada berita jam 8 malam sebentar tadi, berita TV3 telah menyiarkan salah satu surat daripada penonton yang menyentuh berkenaan himpunan semalam.

Apa yang memualkan apabila penonton berkenaan mengatakan bahawa dalam sejarah tidak pernah ada demonstrasi yang berakhir dengan aman. Nampaknya penonton ini membuat kenyataan yang menunjukkan kebodohannya sendiri. Jika dia berkata begitu maka sudah tercatatlah dalam sejarah bahawa demonstrasi Umno untuk menentang Malayan Union telah berakhir dengan keganasan. Dalam erti kata yang lain Umnolah yang telah memulakan demontrasi ganas.

Akhir sekali himpunan HINDRAF semalam bolehlah dikatakan sebagai bersejarah sama seperti himpunan BERSIH apabila berjaya mengumpulkan hampir 10,000 (2) masyarakat India di negara ini. Cumanya adalah lebih baik jika mereka yang tertindas ini mengetepikan semangat perkauman dengan bergabung dengan pakatan pembangkang dan NGO di negara ini bersama-sama berjuang ke arah Malaysia yang adil.


1. Anjing di sini bermaksud sedia diperalatkan oleh pihak tertentu.
2. Angka ini tidak termasuk mereka yang tidak dapat hadir akibat pelbagai sekatan jalanraya oleh pihak polis.

posted by Lidah Penghunus @ 9:39 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter