Wednesday, November 28, 2007

Lajunya BPR Kelantan.

Assalamulaikum.

BPR serbu 10 syarikat balak Kelantan.
KOTA BHARU: Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyerbu sekurang-kurangnya 10 syarikat dan pejabat kerajaan di negeri ini termasuk Jabatan Perhutanan, bagi membantu siasatan berhubung kes pembalakan haram di Hulu Kelantan.

Serbuan itu dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat BPR Putrajaya dan Kota Bharu, sejak berapa hari lalu.
Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull, juga dilihat berada di Pejabat BPR Kelantan di Wisma Persekutuan sejak kelmarin, dipercayai bagi mengetuai sendiri operasi itu.
Dalam serbuan di Jabatan Perhutanan Negeri di Kota Darulnaim kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, pegawai BPR dilihat membawa keluar beberapa fail dipercayai mengandungi maklumat berkaitan kegiatan pembalakan di negeri ini.

Sebuah syarikat pembalakan yang beroperasi di deretan pejabat dan kedai dekat Jalan Gajah Mati di sini, turut diserbu kira-kira jam 3 petang.
Selepas menggeledah premis terbabit selama kira-kira dua jam, pasukan itu dilihat membawa keluar beberapa fail milik syarikat itu.
Shukri bagaimanapun tidak dapat dihubungi tetapi menurut sumber, siasatan BPR menjurus kepada penyelewengan disyaki berlaku dalam kegiatan pembalakan yang diluluskan kerajaan negeri di Hulu Kelantan, terutama Lojing.
Katanya, selain menyemak maklumat fail yang dirampas, BPR turut merekodkan keterangan kakitangan pejabat dan syarikat diserbu itu.
"Lebih banyak serbuan mungkin dilakukan dalam tempoh terdekat," kata sumber itu semalam.
Minggu lalu, Pergerakan Pemuda Umno mendesak BPR mengambil tindakan segera terhadap hasil siasatan yang dijalankan berkaitan pelbagai dakwaan rasuah membabitkan beberapa agensi di negeri ini.
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan itu perlu kerana selama ini orang ramai tertanya-tanya perkembangan serta kesudahan siasatan dijalankan badan itu ke atas pelbagai pihak di negeri ini. Berita Harian - 28 November 2007.

Lihatlah betapa laju dan efisyennya BPR Kelantan menyiasat dakwaan penyelewengan kerajaan Pas Kelantan. Badan pencegahan gejala rasuah ini dengan pantas terus menyerbu dan menyiasat beberapa syarikat dan agensi kerajaan negeri yang terbabit setelah didesak oleh menantu Perdana Menteri. Tidak pula terlebih dahulu BPR ini memanggil dan menyiasat orang yang mendedahkan rasuah serta penyelewengan ini.

Di sini juga kita hairan. Tempoh hari Khairy mendesak agar BPR negeri mendedahkan hasil siasatan berkenaan rasuah dalam kerajaan negeri Kelantan kepada umum. Namun dalam akhbar hari ini menunjukkan BPR baru hendak menyiasat. Apa sebenarnya yang terjadi?

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter