Tuesday, November 27, 2007

Pembangkang Dun Kelantan yang ganas.

Assalamualaikum.

Mula-mula kita ikuti laporan daripada akhbar perdana di bawah ini;

Sidang DUN Kelantan kecoh.
KOTA BHARU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini semalam, kecoh apabila ‘perang mulut’ antara seorang wakil Barisan Nasional (BN) dengan Pas, berlarutan hingga mencetuskan pergelutan.
Kekecohan bermula apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), yang mewakili BN tidak berpuas hati dengan wakil Pas yang didakwa tidak menjawab soalan yang dikemukakan mereka dalam sidang dewan semalam.
Ketika itu, beberapa Adun BN bangun melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia negeri, Zulkifli Mamat (Pas-Pulai Chondong), kerana tidak menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Zain Ismail (BN-Bukit Tuku).
Dalam soalan tambahannya, Mohd Zain ingin tahu kenapa projek Afta City Rantau Panjang gagal tetapi Zulkifli yang sebelum itu memberitahu ia sudah dibatalkan kerajaan negeri, menyindir Mohd Zain, menyebabkan keadaan mula tegang.
Mohd Zain kemudian berkata: “Adakah projek ini tiada kaitan dengan kerajaan negeri sampai tak boleh nak jawab?” Sejurus itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Annuar Musa, bangun mencelah: “Soalan tadi kenapa projek gagal.. tak payahlah nak (jawab) berbelit-belit”. Pertelagahan itu menjadikan suasana semakin tegang sehingga berlaku perang mulut antara Nozula Mat Diah (BN-Paloh), dan Mohd Zaki Ibrahim (Pas-Kelaboran), sebelum Nozula yang berang dengan provokasi meluru ke arah Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan itu.
Beliau kemudian cuba melepaskan tendangan, tetapi sempat dihalang Abdul Halim Abd Rahman (Pas-Chetok) dan dileraikan Adun lain. Kejadian yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman web kelantan.tv.
Nozula juga dilihat cuba mengangkat kerusi dalam dewan tetapi ditenangkan wakil rakyat BN. Sejurus kemudian, beliau bertindak keluar dari dewan sambil cuba ditenangkan seorang wakil rakyat BN, dan masuk semula 10 minit kemudian.
Ketika ditemui di luar dewan, Nozula berkata, beliau menganggap tindakannya itu wajar kerana provokasi wakil rakyat Pas itu keterlaluan dan menghina wakil BN. Ditanya mengapa beliau bertindak cuba menyerang Mohd Zaki, Nozula berkata: “Dia (Zaki) kata sesuatu yang kesat pada saya. Berita Harian - 27 November 2007.

Sekarang ini kita ikuti pula laporan daripada laman web harakahdaily berserta paparan video.


Sidang DUN Kelantan tercemar, Nozula tendang Zaki Ibrahim!
KOTA BHARU, 27 Nov (Hrkh)- Persidangan kali ketiga (Belanjawan) bagi tempoh penggal ke empat Dewan Undangan Negeri Kelantan mencatat sejarah terburuk apabila Dato' Nozula Mat Diah(BN-Paloh) bertindak menendang Mohd Zaki Ibrahim(PAS- Kelaboran) sewaktu sesi soal jawab dalam sidang DUN semalam.
Kejadian memalukan itu berjaya dirakamkan selama hampir dua minit dan aksi biadapnya boleh ditonton oleh semua pihak di
laman web yang sentiasa menyiarkan perkembangan secara langsung Sidang Dun Kelantan.
Insiden bermula apabila Dato' Mohd Zain Ismail (BN-Bukit Tuku) tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia , Zulkifli Mamat terhadap soalan yang dikemukakannya mengenai perkembangan projek Afta City Rantau Panjang bahawa projek tersebut telah dibatalkan.
"Permasalahan sekarang ialah kerajaan ingin memperbetulkan kenyataan bahawa ada exco yang hadir dalam perasmian tersebut. Kita ingin memperbetulkan kenyataan yang menyebabkan tuduhan daripada pihak YB (BN).
"Kita tidak mahu YB yang dipilih,kutip bawa cerita tepi jalan dan bawa naik ke dewan. Adakah hendak perbetulkan ini salah, "kata Zulkifli yang diikuti ketukan di meja oleh beberapa Adun.
Kata-kata Zulkifli itu menimbulkan kemarahan Nozula yang bangun dan menyifatkan jawapan Zulkifli itu sebagai 'tidak cerdik' dan menganggap pihak kerajaan negeri menuduh pihak pembangkang bodoh dan tidak mempedulikan teguran speaker supaya beliau duduk.
Keadaan menjadi semakin panas apabila Nozula mengambil serius kata-kata usikan daripada Zaki Ibrahim yang menimbulkan kemarahannya.
"Bagi peluang aku keccek lepas ni,"kata Nozula dengan nada yang keras.
Kata-kata Zaki supaya Adun Paloh itu meminta maaf kepada dewan dan meyatakan beliau bersikap kurang ajar menyebabkan Nozula bertindak diluar jangkaan.
"Mu yang kurang ajar," katanya sambil bertindak menyerang Zaki.
Tindakan Nozula itu cuba dihalang oleh beberapa Adun termasuk Saufi Deraman(BN-Galas) dan Abdul Halim Abdul Rahman(PAS- Chetok) yang berada bersebelahan Zaki.
Walaupun dihalang Nozula sempat melepaskan tendangan terhadap Zaki. Suasana dewan menjadi sedikit kecoh dan terpaksa ditenangkan oleh Speaker.




Dipetik daripada laman web http://www.harakahdaily.net/ - 27 November 2007.

Baru sekali diprovok Adun BN ini telah bertindak di luar batasan dengan menendang Adun daripada Pas. Sedangkan Ahli Parlimen, Adun dan pemimpin Pas provokasi apa yang tidak pernah mereka hadapi daripada BN dan budak suruhan mereka. Namun tidaklah sampai mereka bertindak ala samsing sebegitu. Kalau inilah gayanya Umno sebenarnya masih belum layak lagi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kelantan daripada Pas.

posted by Lidah Penghunus @ 6:55 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter