Tuesday, November 27, 2007

Ahli Parlimen BN sendiri kata kerajaan gagal bela kaum India.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini dakwaan bahawa kerajaan Barisan Nasional meminggirkan nasib kaum India telah dinyatakan sendiri oleh Ahli Parlimen BN daripada kaum India sendiri. Namun begitu kenyataan daripada wakil rakyat ini telah dianggap sebagai satu kesalahan kerana dianggap bertentangan dengan dasar BN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata beliau menunggu laporan Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berhubung kenyataan Ahli Parlimen Cameron Highlands, SK Devamany yang mendakwa dasar pembangunan kerajaan gagal membangunkan kaum India. Nazri berkata, beliau sudah meminta BNBBC memberi laporan mengenai kejadian itu dan beliau juga akan menyemak Hansard Dewan Rakyat.
Katanya, ketika Devamany mengeluarkan kenyataan itu beliau tiada dalam dewan tetapi berdasarkan laporan awal yang diterimanya, beliau berpendapat Ahli Parlimen Cameron Highlands itu patut meletak jawatan daripada MIC.
“Jika beliau (Devamany) berkata (dasar) kerajaan gagal, apa perlu lagi dia bersama MIC. Cara terhormat yang patut dilakukan ialah meletak jawatan kerana saya percaya MIC menyokong kerajaan 100 peratus,”

Dalam sesi soal jawab semalam, ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Raman Suliman menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai usaha kerajaan membantu kaum India di negara ini, Devamany bangun mencelah dengan berkata:
“50,000 orang datang semalam (Ahad), ini satu kegagalan Tan Sri (Yang Dipertua), jadi saya rasa perkara ini perlu dilihat secara serius,” katanya merujuk kepada perhimpunan haram Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) kelmarin kerana mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) meminggirkan kaum India di Malaysia.
Devamany mengulangi perkara itu ketika Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum menjawab soalan beliau mengenai peratusan terkini kakitangan India dalam perkhidmatan polis dan tentera.
Ditemui di lobi Parlimen kemudiannya, Devamany berkata, beliau tidak kesal kerana membuat kenyataan itu dan beliau tidak mengkritik dasar kerajaan kerana apa yang dilakukannya hanyalah berjuang demi kepentingan masyarakatnya. Berita Harian - 27 November 2007.

Inilah sebenarnya perangai Barisan Nasional yang menyebabkan rakyat terus dihimpit kesusahan. Ahli Parlimen di kalangan mereka hanya dibenarkan mengeluarkan kenyataan yang senada dengan mereka sahaja. Mereka ditegah untuk menyatakan pendapat yang bertentangan dengan Barisan Nasional walaupun ianya untuk kepentingan rakyat. Akibatnya lahirlah wakil-wakil rakyat BN yang gagal untuk membela nasib rakyat dan hanya pandai mengampu pemimpin mereka sahaja.

Jadi tidak hairanlah gejala ini menyebabkan rakyat sendiri turun ke jalanraya untuk memperdengarkan rintihan mereka kepada umum. Tetapi cara turun secara aman di jalanan ini juga disekat oleh kerajaan BN yang menggunakan slogan "tradisi membela rakyat" ini. Nampaknya amatlah malang kita di bawah Barisan Nasional ini. Sudahlah wakil rakyat dikunci mulut mereka daripada membela rakyat. Rakyat sendiri juga dihalang untuk berhimpun secara aman untuk menuntut hak mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 6:15 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter