Berkenaan pengerusi Suruhanjaya Diraja yang dilantik.
Assalamualaikum.
Sebelum ini rakyat mempersoalkan penubuhan panel siasatan kes klip video VK Lingam kerana jelas bahawa panel tersebut tiada kuasa untuk memanggil saksi. Akhirnya keputusan telah dibuat untuk membentuk Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes yang telah menjejaskan imej badan kehakiman ini yang telah disambut baik oleh pelbagai pihak. Maka kita pun menunggu dengan penuh debaran siapakah mereka yang akan dipilih oleh kabinet untuk menduduki Suruhanjaya Diraja itu.
Setelah lama menunggu akhirnya semalam anggota suruhanjaya telah diumumkan setelah pemilihannya oleh kabinet diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Maka sekali lagi kita kecewa apabila orang dilantik untuk mengetuai suruhanjaya tersebut adalah orang yang sama mengetuai panel siasatan yang telah dipersoalkan intergritinya kerana terlibat dengan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim iaitu Tan Sri Haidar Mohamed Noor.
Di sini kita rakyat merasa seperti dipermain-mainkan. Dahulu mereka berkeras mahu meneruskan panel siasatan dengan alasan bahawa panel siasatan sudah cukup memadai. Tetapi akhirnya mereka bersetuju pula untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Sudahlah proses memilih ahli Suruhanjaya Diraja itu mengambil masa yang lama hingga membuatkan rakyat tertunggu-tunggu dan apabila ianya diumumkan sekali lagi rakyat dikecewakan apabila orang yang sama dilantik yang dipersoalkan intergritinya. Sedangkan ramai lagi mereka yang boleh dipercayai yang boleh diketengahkan untuk menyiasat kes ini.
Lagipun ianya juga dilihat seperti membuang dan melengah-lengahkan masa. Jika tuan-tuan baca akhbar hari ini Suruhanjaya Diraja yang baru ditubuhkan itu diberi masa 3 bulan untuk membuat siasatan. Cuba jika dari tarikh penubuhan panel khas hampir 3 bulan dahulu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja maka kita percaya hari ini segala siasatan akan hampir selesai dan tidak lama lagi rakyat akan ketahui keputusannya. Maka di sini kita tertanya-tanya permainan apakah yang sedang dimainkan oleh BN ini dalam usaha menutup terus kes klip video peguam ini.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home