Sunday, December 09, 2007

Hari hak asasi yang gelita.

Assalamualaikum.

Semalam semasa dalam perjalanan ke Pejabat Pas Negeri saya melalui Glenmarie dan Stadium Shah. Rupa-rupanya sekarang ini sedang berlangsung Karnival Jom Heboh anjuran TV3. Akibatnya jalan menjadi begitu sesak, kenderaan pengunjung diletakkan sesuka hati di tepi jalan. Tapi tiada pula menjadi kemarahan kepada orang ramai. Tiada pula TV3 bising-bising dalam berita tv mereka yang ditunggang oleh Barisan Nasional itu seperti mana mereka melalak tentang kesesakan lalu lintas yang berpunca daripada demonstrasi.

Saya dapat perhatikan di perkarangan tempat letak kereta stadium begitu sesak dengan pengunjung. Walau bagaimanapun ianya kelihatan terkawal dan aman lebih-lebih lagi dengan kehadiran pasukan keselamatan. Di sini cuba jika pasukan keselamatan itu tadi dengan bantuan pasukan FRU menggasak lautan manusia ini dengan air kimia dan gas pemedih mata, sudah tentu keadaannya juga sama seperti Masjid Jamek jam 3.00 Petang 10 November yang lalu yang kecoh dan tidak terkawal. Maka ianya juga sudah tentulah berpunca daripada provokasi pasukan keselamatan sendiri kerana tujuan asal pengunjung Jom heboh juga adalah untuk berhibur atau bersiar-siar bukan untuk menimbulkan kekacauan.

Siang tadi beberapa anggota Majlis Peguam yang hanya hendak berarak daripada Kompleks Sogo ke Pasar Seni telah ditahan kerana didakwa melanggar Akta Polis kerana berhimpun tanpa permit. Mengapa begitu susah untuk membiarkan mereka terus berarak? Apa bezanya mereka dengan dengan pengunjung Jom Heboh. kedua-duanya memang mengakibatkan sesuatu tempat sesak namun niat mereka juga bukan untuk menimbulkan rasa kurang tenteram. Cumanya mereka yang bersesak-sesak di Jom Heboh semata-mata hiburan sedangkan mereka daripada majlis peguam bertujuan untuk meraikan hari hak asasi sedunia. Adalah amat malang sekali apabila pada hari hak asasi manusia, hak asasi untuk berhimpun terus dicabul oleh pemerintah sendiri.

Hari ini juga adalah hari yang malang bagi hak asasi negara ini apabila Pengarah Jawatankuasa Perhimpunan Rakyat, Tuan Haji Mohd Sabu ditahan oleh polis ketika beliau menghantar anaknya yang sedang melangsungkan perkahwinan. Selain Tuan Haji Mohd Sabu mereka yang turun ditahan ialah Ketua Penerangan PKR, Sdr Tian Chua. Nampaknya perkembangan ini menunjukkan kepada kita bahawa kerajaan sebenarnya begitu takut dengan kebangkitan rakyat yang telah dimulakan dengan perhimpunan BERSIH itu. Di sini timbul kebimbangan dalam diri saya sendiri jika berulang kembali Operasi Lalang apabila pemimpin-pemimpin parti pembangkang ditangkap dan ditahan bawah ISA.

Maka seperti yang disarankan Tuan Guru Presiden Pas dalam harakahdaily hari ini ketika mengulas berkenaan beberapa siri penangkapan pada siang tadi. Marilah kita sama-sama solat hajat dan berdoa kepada Allah agar diberi pengajaran kepada mereka yang angkuh dan zalim ini serta diberikan keselamatan kepada mereka yang teraniaya. pada musim haji ini juga bagi tuan-tuan yang mempunyai keluarga atau kenalan yang sedang menunaikan haji bolehlah meminta kepada mereka agar berdoa di sana untuk kesejahteraan kita di sini.

posted by Lidah Penghunus @ 10:06 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter