Tuesday, December 18, 2007

ISA dan peruntukan ikut suka pemerintah.

Assalamualaikum.

31 bebas dakwaan cuba bunuh polis.
SHAH ALAM: Semua 31 orang yang didakwa cuba membunuh seorang pegawai polis pada perhimpunan haram anjuran Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) di Batu Caves, bulan lalu, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam. Hakim Nursinah Adzmi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, untuk menarik balik pertuduhan itu.
Semua tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mengikut Seksyen 149/307 Kanun Keseksaan itu serta beberapa pertuduhan lain. Bagaimanapun, dalam prosiding semalam, hanya enam tertuduh termasuk lima pelajar institusi pengajian tinggi dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan, manakala 25 lagi masih menghadapi beberapa pertuduhan lain.

Kes itu turut mendapat perhatian Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta Abdul Gani mempertimbangkan rayuan keluarga tertuduh supaya menggugurkan dakwaan cubaan membunuh. Sabtu lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, berkata beliau bersimpati dengan semua tertuduh dan percaya mereka diperdayakan penganjur perhimpunan haram itu. Sebelum itu, keluarga 31 tertuduh terbabit mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu bagi meminta bantuan menyampaikan rayuan agar tuduhan itu digugurkan. Utusan Malaysia - 18 Disember 2007.

Lihatlah begitu mudah sekali kerajaan BN membuat keputusan. Dengan kuasa yang ada pada Perdana Menteri mereka boleh suka-suka menahan sesiapa sahaja tanpa melalui proses perbicaraan di bawah ISA. Dan dengan kuasa yang ada juga mereka boleh suka-suka membebaskan sesiapa yang mereka kehendaki atas alasan kononnya mereka yang tertuduh diperdayakan oleh penganjur iaitu HINDRAF. Nampaknya mereka yang telah ditahan atas sebab berhimpun ini lebih beruntung daripada Raja Munirah dan Umi Azlim yang terus merengkok dalam penjara di luar negara sana atas kesalahan dadah walaupun mendakwa diperdaya oleh teman lelaki.

Di sini kita mempertikaikan tindakan kerajaan itu bukanlah kerana yang mereka yang dibebaskan itu adalah kaum India. Tetapi kita mempertikaikan kerajaan khususnya Perdana Menteri menggunakan kuasa untuk membebaskan mereka yang telah dihadapkan ke mahkamah yang kita percaya ini adalah atas kehendak orang politik sendiri iaitu Datuk Seri Samy Vellu. Kita menuntut agar ISA tidak digunakan kepada kelima-lima pemimpin HINDRAF dan menghadapkan mereka ke mahkamah. Tetapi sebaliknya mereka yang telah dihadapkan ke mahkamah pula yang dibebaskan atas permintaan orang politik. Nampaknya sistem perundangan di negara kita ini semakin memeningkan kepala lebih-lebih lagi sejak Peguam Negara sendiri turun padang dalam proses pendakwaan.

posted by Lidah Penghunus @ 6:22 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter