Samy Vellu akui demonstrasi jejas kesetiaan masyarakat India.
Assalamualaikum.
Samy Vellu: Demonstrasi jejas kesetiaan masyarakat India.
KUALA LUMPUR 20 Dis. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu malam ini mengakui demonstrasi jalanan yang dianjur sebuah perkumpulan haram baru-baru ini sedikit-sebanyak menjejaskan kesetiaan masyarakat India kepada kerajaan.
Berdasarkan maklum balas yang diterimanya, Samy Vellu berkata ada dalam kalangan masyarakat itu yang mula mempersoalkan mengapa masalah yang mereka bangkitkan ini belum diselesaikan kerajaan.
“Ada juga yang sudah bertanya mengapa (perkara) yang mereka mohon belum ditunaikan, jadi saya telah memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagilah masyarakat India lebih sikit (dalam program pembangunan negara) dengan mengambil kira sejarah mereka. Perdana Menteri dah bersetuju untuk menimbangkan,” kata Samy Vellu, yang juga Menteri Kerja Raya dalam satu program wawancara yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 malam tadi. Utusan Malaysia - 21 Disember 2007.
Siapa kata demonstrasi tidak membawa apa-apa manfaat dan kesan terhadap sesuatu isu. Buktinya dalam akhbar hari ini menteri kabinet daripada kaum India sendiri mengakui bahawa demonstrasi HINDRAF 25 November yang lalu telah menjejaskan kesetiaan masyarakat India negara ini. Ramai di kalangan komuniti masyarakat itu telah mula mempersoalkan kelembapan kerajaan menyelesaikan masalah kaum mereka dan akhirnya ianya telah memaksa Datuk Seri Samy Vellu sendiri merayu kepada pihak kerajaan agar memberikan tumpuan kepada masalah kaum India.
Sebenarnya salahsatu tujuan diadakan demonstrasi adalah untuk memberitahu dan mendedahkan kepada masyarakat tentang satu-satu isu yang berbangkit. Oleh sebab itulah demonstrasi akan di adakan di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti Kuala Lumpur. Ditambah dengan media di negara ini yang dikawal oleh parti pemerintah maka demonstrasi ini amat-amat berkesan untuk menarik perhatian masyarakat dan kerajaan tentang sesuatu isu yang dibangkitkan. Kalau tidak masakan isu kemiskinan di Baling tahun 1974 dahulu, demonstrasi berkenaannya di adakan jauh di kota Kuala Lumpur.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home