Perhebat banteras jenayah - Pak Lah.
Assalamualaikum.
Pemilik bangunan diwajib pasang CCTV antara enam langkah diumum PM KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan enam pendekatan, termasuk mewajibkan pemilik atau penyewa bangunan memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai tindakan segera untuk menangani peningkatan kes jenayah.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyuarakan kebimbangan dengan peningkatan indeks jenayah, berkata tumpuan akan diberi di kawasan yang menunjukkan perangkaan jenayah tinggi, iaitu ibu negara, Selangor, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Perdana Menteri berkata, sebuah jawatankuasa yang dianggotai lima pegawai tertinggi kerajaan turut ditubuhkan untuk mempercepatkan pelaksanaan semua pendekatan itu.
Dalam taklimat itu, Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dimaklumkan bahawa Jenayah Indeks meningkat sebanyak 14,910 atau 7.12 peratus kepada 224,298 tahun lalu, berbanding 209,388 pada 2006.
Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan Jenayah Indeks meningkat kerana polis menambah lima kategori pada 2006, menjadikannya 19. Lima indeks baru itu ialah ugutan jenayah, menjatuhkan maruah, pemerasan, menyebabkan kecederaan dan merusuh dalam kumpulan lebih lima orang.
"Polis dibenarkan mengambil 60,000 anggota tambahan dalam tempoh lima tahun sehingga 2011. Kerajaan hendak meramaikan bilangan anggota polis yang akan mempercepatkan tindakan dan keberkesanan menangani jenayah," katanya.
Beliau juga berkata, 85 peratus daripada cadangan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia sudah dilaksanakan, manakala 15 peratus lagi berkaitan pembangunan infrastruktur termasuk membina pusat latihan akan mengambil masa. Abdullah menjelaskan kerajaan memerlukan kerjasama pemaju untuk menyediakan balai polis kerana tanah kosong bagi membina kemudahan berkenaan biasanya terletak jauh dari kawasan pekan. Berita Harian - 9 Januari 2008.
CCTV: Polis Kenalpasti Lokasi, PBT Laksana Pemasangan.
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Polis kini akan mengenalpasti lokasi-lokasi di tempat awam yang perlu dipasang kamera litar tertutup (CCTV) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan melaksanakan pemasangan CCTV, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting.
Ong berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan arahan itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini sebagai satu usaha memastikan langkah pencegahan dan memerangi jenayah dilakukan dengan lebih berkesan.
Jemaah Menteri juga dimaklumkan bahawa sebagai peringkat permulaan peruntukan berjumlah RM75 juta bagi menyewa dan menyelenggara CCTV bagi tempoh lima tahun disediakan bagi tujuan tersebut dan akan dimulakan pada awal 2008," BERNAMA - 9 Januari 2008.
Polis masih siasat kes Nurin.
KUALA LUMPUR: Polis tidak menutup kes pembunuhan kejam Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang berlaku September lalu walaupun kes itu berlarutan sehingga 20 tahun untuk diselesaikan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Beliau berkata, polis terus menyiasat kes malang menimpa kanak-kanak itu, termasuk mengkaji semula siasatan kes berkenaan dari semasa ke semasa.
“Ini masih dalam siasatan, kita tidak pernah tutup walaupun 20 tahun jika kes serius, tetapi kita mahu petunjuk daripada pelbagai sumber dan maklumat...kita sentiasa mengkaji semula kes itu Berita Harian - 9 Januari 2008.
Tinggal mangsa di tepi jalan.
KUALA LUMPUR: ‘Lelaki kucing’ kembali mengganas! Kali ini menggunakan taktik terbaru dengan bukan saja mengajak seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mencari kucing, malah turut mempelawa mangsa memerhati burung.
Lelaki gila seks itu dipercayai orang sama yang pernah menculik beberapa kanak-kanak di sekitar ibu kota tahun lalu dan kini muncul kembali melakukan perkara sama di Pangsapuri Desa Sepakat Sri Manja, Taman Medan, Petaling Jaya, kelmarin.
Ketika kejadian jam 5 petang, mangsa, Nur Fatiha Zaidi, dikatakan sedang asyik bermain bersama seorang rakannya berhampiran kediamannya sebelum suspek menghampirinya dan mengajak mencari kucing dan burung.
Mangsa yang terpedaya dengan helah lelaki terbabit kemudian dibawa menaiki motosikal sebelum ditinggalkan seorang diri di tepi jalan di Setapak Jaya di sini, pada jam 7.45 malam. Orang ramai yang menemui kanak-kanak itu kemudian membawanya ke Balai Polis Wangsa Maju. Harian Metro - 9 Januari 2008.
Dua remaja tak mengaku jual DVD seks Dr Chua.
JOHOR BAHRU: Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan menjual cakera video digital (DVD) lucah, termasuk DVD membabitkan adegan seks bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Kedua-kedua tertuduh yang berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah di mahkamah berasingan pada pagi serta petang semalam dan memohon untuk dibicarakan terhadap tuduhan itu.
Tertuduh, Daniel Lee Jun Wei, 18, dari Taman Perling, di sini membuat pengakuan itu di depan Majistret Nor Shahid Abd Malek dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan perbicaraan pada 15 April depan.
Lee yang juga penjual DVD melakukan kesalahan itu di sebuah gerai jualan DVD apabila didapati memiliki dan menjual enam keping DVD-R (yang boleh disalin semula) lucah serta 51 keping DVD lucah pelbagai tajuk di tepi Jalan Setia 3/6 di depan Restoran Hong Meng di Taman Setia Indah, kira-kira jam 10.20 malam, Sabtu lalu. Berita Harian - 9 Januari 2008.
Perilaku seks Chua Soi Lek amalan biasa Umno/BN - Prof Agus.
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Hrkh) - Penganalisis Politik tanah air, Profesor Dr Agus Yusof berpendapat bahawa pengakuan berani yang dibuat oleh bekas Menteri Kesihatan, Dato' Dr Chua Soi Lek tidak boleh dianggap sebagai ketelusan dalam politik.
"Kita tidak boleh menganggap pengakuan berani Soi Lek sebagai suatu ketelusan dalam politik. Sebaliknya, ia harus melihat bagaimana hendak memastikan di peringkat awal masalah tersebut dapat dihindari," ujarnya ketika dihubungi Harakah.
Apa yang menghairankan saya, sekarang banyak pihak yang menyanjung Soi Lek seolah-olah dia adalah hero, sedangkan sebenarnya dia telah melakukan kesalahan kerana telah memperkosa kepercayaan yang diberikan rakyat kepadanya," katanya yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dr Agus turut menekankan bahawa moral seseorang pemimpin negara perlu kemas serta bebas daripada sebarang unsur yang boleh menjerumuskan diri mereka ke dalam fitnah yang boleh memudaratkan maruah negara.
Sungguhpun begitu, beliau masih menyatakan bahawa apa yang menimpa Soi Lek sebagai tidak bernasib baik, sambil mendakwa perlakuan tersebut telah biasa dilakukan oleh pemimpin Umno/BN.
"Pada saya, apa yang berlaku menunjukkan kepada kerajaan bahawa mereka perlu melihat dan mengambil perhatian terhadap persoalan moral politik di kalangan pemimpin mereka," Di petik daripada laman web http://www.harakahdaily.net - 9 Januari 2008.
Bunyinya macam hebat macam benar-benar ingin membenteras jenayah. Tapi saya percaya ianya tidak akan ke mana. Jenayah akan terus meningkat, slogan akan tinggal slogan, duit rakyat RM 75 itu akan terus terbuang begitu sahaja.
Saya berani mengatakan sebegini kerana dalam keadaan yang semakin kritikal ini kerajaan masih lagi tidak mahu mengguna pakai pendekatan Islam. Mereka masih lagi mahu menggunakan akal fikiran mereka semata-mata dalam menyelesaikan masalah jenayah. Ini ditambah lagi dengan kecurangan berlaku seperti pendakwaan terpilih, rasuah dan sebagainya.
Maka tidak ada jalan lain untuk membenteras jenayah ini melainkan kita melakukan hijrah iaitu beralih daripada parti pemerintah yang sekarang ini kepada parti yang ingin melaksanakan Islam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home