Tuesday, January 22, 2008

Negara kebajikan - Annuar Musa cabar Pas dan kerajaan Kelantan.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar semalam telah dipaparkan tentang kenyataan daripada Pas berkenaan negara kebajikan yang terkandung dalam manifesto parti itu. Rupa-rupanya ialah tidak disenangi oleh Barisan Nasional yang korup itu apabila dalam akhbar hari ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa mencabar Pas agar membuktikan terlebih dahulu di Kelantan.

Pas dicabar jadikan dulu Kelantan contoh negeri kebajikan.
KOTA BHARU 21 Jan. – UMNO Kelantan mencabar Pas supaya mengubah negeri ini menjadi negeri kebajikan terlebih dahulu sebelum berangan-angan mewujudkan konsep negara kebajikan di Malaysia.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Annuar Musa berkata, tiada apa yang percuma diberi oleh kerajaan Pas Kelantan berbanding Kerajaan Pusat yang lebih mementingkan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, untuk membuktikan Pas mengambil berat kebajikan rakyat, parti itu sekurang-kurangnya perlu bertindak menurunkan bayaran letak kenderaan di bandar ini dan beberapa bandar kecil lain.
Katanya, bayaran letak kereta di Kelantan adalah yang tertinggi di negara ini.
Menurut Annuar, Pas juga harus menurunkan beberapa cukai lain seperti cukai pintu, cukai tanah, cukai kepala bakul di pasar-pasar dan bayaran memproses permohonan tanah yang menyusahkan rakyat. Utusan Malaysia - 22 Januari 2007.


Apa yang perlu kita tahu bahawa kandungan negara kebajikan yang akan dilaksanakan oleh Pas itu akan dilaksanakan apabila parti itu berjaya mendapat mandat sebagai kerajaan pusat. Kerana keputusan untuk menurunkan harga minyak, kos pendidikan dan penghapusan ISA hanya boleh dilakukan diperingkat kerajaan pusat, bukan kerajaan negeri. Mengapa pula Annuar Musa hendak mengaitkannya dengan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pas? Di sini kita mahu tanya, siapakah yang menaikkan harga minyak dan siapakah yang menaikkan kadar Tol hingga mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan seterusnya membebankan rakyat? Adakah kerajaan Pas Kelantan menaikkan harga minyak?

Di sini kita bandingkan pula antara harga minyak dan caj tempat letak kereta. Kenaikan harga minyak mampu untuk menaikkan kos sesuatu keluaran dan seterusnya melonjakkan kenaikan harga barangan keperluan yang lain sedangkan kenaikan kadar caj tempat letak kereta hanya memberikan kesan kepada pemilik kenderaan itu sahaja. Jika hendak sebut tentang cukai taksiran, Pas telah membuktikannya semasa mentadbir negeri Terengganu bermula tahun 1999 lalu apabila kepimpinan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menghapuskan cukai taksiran atau disebut cukai pintu. Namun ianya telah diwujudkan semula sebaik sahaja Barisan Nasional mengambil alih semula negeri Terengganu.

Di sini juga kita ingin bertanya kepada Annuar Musa adakah negeri-negeri lain di bawah BN tidak mengenakan cukai pintu dan beberapa cukai serta caj yang lain kepada rakyatnya? Malahan seperti yang saya sebut baru-baru ini kerajaan negeri Selangor yang dikatakan maju itu telah menaikkan kadar lesen perniagaan namun ianya ditangguhkan kerana pilihanraya. Satu lagi Annuar Musa perlu faham bahawa kerajaan negeri Kelantan telah lama dinafikan haknya sebagai kerajaan negeri oleh kerajaan kerajaan pusat yang menyebabkan kerajaan negeri itu memperolehi sumber kewangan yang terhad. Namun cukai-cukai yang dikenakan tidaklah sampai membebankan rakyat negeri itu secara keseluruhan.

Tambahan lagi Annuar Musa hanya melihat berkenaan caj tempat letak kereta yang tinggi, sedangkan banyak lagi amalan kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang tidak dipandang oleh beliau antaranya skim Kifaalah yang telah memberikan manfaat kepada semua rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan fahaman politik.

posted by Lidah Penghunus @ 5:47 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter