Wednesday, April 16, 2008

Isu babi- Bekas kerajaan negeri berdolak-dalik.

Assalamualaikum.

SHAH ALAM 15 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat, Datuk Dr. Karim Mansor menafikan beliau terlibat dengan syarikat yang bertanggungjawab mengemukakan cadangan ladang penternakan babi di Kuala Langat.
Menurutnya, beliau akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap akhbar Oriental Daily jika terdapat unsur fitnah terhadapnya berhubung dakwaan itu.
Bagaimanapun ketika ini, beliau belum membaca keseluruhan terjemahan wawancara akhbar berkenaan kerana mengerjakan umrah.
Dalam wawancara menerusi telefon dari Mekah, Dr. Karim berkata, semasa Barisan Nasional (BN) menerajui kerajaan negeri, semua urusan berhubung cadangan itu diketuai bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tang See Hang.
Menurutnya, beliau tidak tahu syarikat tempatan mana yang terbabit secara usahasama dengan syarikat dari Jerman yang diberi tanggungjawab untuk mencari jalan mengadakan pemodenan ladang babi.
''Ini kerana kertas cadangan projek ini dikemukakan sendiri oleh syarikat terbabit kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh See Hang.
"Saya tidak boleh masuk dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) mahu pun mesyuarat Exco. Jadi saya tidak faham bagaimana nama saya dikaitkan," katanya.
Beliau berkata, pembabitan syarikat bumiputera dengan pelabur Jerman itu mungkin kerana dasar kerajaan yang mensyaratkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat usahasama luar.
"Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran dakwaan ini. Tetapi saya fikir ia berhubung kait dengan syarat pelaburan asing. Saya percaya juga jika ada syarikat bumiputera, ia pastinya di kalangan bumiputera bukan Islam," katanya.
Dr. Karim mengaku beliau turut bersama pemimpin tempatan termasuk Ketua Kampung Ladang Tumbuk melawat ke Jerman dan Thailand untuk meninjau kaedah penternakan babi moden.
''Saya pergi atas kapasiti sebagai wakil rakyat Tanjung Sepat bagi mengumpul maklumat untuk orang ramai jika mana-mana kaedah diguna pakai oleh kerajaan negeri untuk menyusun semula penternakan babi di Selangor,'' katanya.
Beliau turut menyokong pelaksanaan ladang babi moden bagi memenuhi keperluan domestik dengan syarat ladang-ladang babi sedia ada ditutup terus.
"Atas sebab itu kita telah adakan kajian dan rundingan dengan penternak babi sejak tiga tahun lalu," katanya.
Menurut beliau, ini merupakan antara usaha-usaha yang dilakukannya sejak dipilih sebagai ADUN Tanjung Sepat pada 2004.
Bagaimanapun kata Dr. Karim, beliau dan penduduk membantah projek itu kerana projek tersebut yang berdekatan kampung orang Melayu tidak mengambil kira pandangan penduduk dan kajian kesan alam sekitar terlebih dahulu. Utusan Malaysia -16 April 2008.


Apapun yang diperkatakan oleh Datuk Karim, yang penting telah diakui bahawa projek ternakan babi ini telah diluluskan oleh kerajaan yang terdahulu dan turut disertai oleh syarikat bumiputera. Apa yang kita baca di sini Datuk Karim nampaknya berdolak-dalik dalam isu babi ini terutama sekali apabila timbulnya pendedahan yang terbaru ini. Jadi tak perlulah lagi beliau dan Umno Selangor nak timbulkan lagi isu ini, adalah baik beliau ikuti nasihat Timbalan Menteri Kesihatan dalam akhbar di bawah ini;

Babi: Usah ikut perasaan.
KUALA LUMPUR 15 April - Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad menyifatkan isu projek ternakan babi secara moden bernilai RM100 juta itu di Sepang telah dipolitikkan.
Menurut beliau, bantahan terus dibuat walaupun projek tersebut masih dalam peringkat kajian dan belum diuji sepenuhnya di negara ini.
Justeru, katanya, pihak terbabit tidak sewajarnya bertindak mengikut perasaan.
''Biarlah dia buat kajian terlebih dahulu. Ia mesti diuji di negara kita. Bagi dia peluang. Kalau tak berjaya, baru kita ambil tindakan jika ia tidak mengikut standard Jerman.
''Jadi janganlah kita menjadi sangat emosional. Saya tengok isu ini telah dipolitikkan,''

Sambil menegaskan pandangannya itu tidak bermakna dia menyetujui projek itu, Abdul Latiff berkata, pengendali projek tersebut perlu diberi peluang membuktikan teknologi ternakan babi di Jerman juga dapat digunakan di negara ini.
''Saya tak kata saya setuju. Buktikan sistem itu turut boleh digunakan di sini. Maknanya, ia adalah mesra alam dan tidak mendatangkan penyakit,'' Utusan Malaysia -16 April 2008.

posted by Lidah Penghunus @ 10:54 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter