Monday, October 27, 2008

Bahasa Melayu telah lama diperkotak-katikkan.

Assalamualaikum.

Tapak warisan hanya guna bahasa Malaysia.
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Status Georgetown sebagai tapak warisan dunia tidak sesekali boleh menghalalkan hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memasang papan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di bandar itu.
Tokoh sejarah dan ahli politik berpendapat, soal bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh digantikan fungsinya bagi kegunaan rasmi kerana ia termaktub dalam akta dan Perlembagaan Persekutuan.
Ahli sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, pemberian status warisan sejarah tidak bermakna apa yang berlaku pada masa lalu perlu ditonjolkan semula kerana hari ini prosedur dan perundangan adalah berbeza.

Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menggesa Kerajaan Persekutuan menimbangkan untuk membawa kerajaan negeri Pulau Pinang ke muka pengadilan kerana membenarkan pemasangan papan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan di Georgetown.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut meminta tindakan tegas oleh Kerajaan Pusat kerana kebenaran kerajaan negeri Pulau Pinang itu adalah satu kesalahan yang besar.
Katanya, soal berkaitan dengan bahasa bukanlah satu perkara yang boleh dianggap remeh dan sebab itu jika kerajaan negeri masih berdegil maka Kerajaan Pusat kena lakukan sesuatu demi kedaulatan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.
''Ini juga berkaitan prinsip Rukun Negara. Apa namanya keluhuran Perlembagaan kalau peruntukan Perlembagaan sendiri tidak tahu dihormati apabila Bahasa Kebangsaan boleh diperkotak-katikkan. Utusan Malaysia - 27 Oktober 2008.


Dalam pada Utusan Malaysia memaparkan komentar berkenaan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memasang papan tanda pelbagai bahasa di bandar tertentu di negeri itu, pada masa yang sama haiwan politik Umno dan Barisan Nasional ini memaparkan pula sokongan daripada beberapa pihak terhadap pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris;

Kekalkan Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris.
BANDAR JENGKA 26 Okt. - Kerajaan diminta mengekalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kerana ia memberi kesan positif terhadap kemajuan negara pada masa akan datang.
Pelbagai pihak yang ditemui di sini berpendapat, langkah mengekalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah relevan dalam melahirkan generasi yang fasih bahasa itu.
Ketua UMNO Cawangan Jengka Satu, Abdullah Ani berkata, penggunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek itu amat perlu kepada pelajar di negara ini.
''Pemansuhan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik akan memberi kesan negatif terhadap usaha meningkatkan penguasaan pelajar terhadap bahasa itu.
''Penilaian terhadap keberkesanan penguasaan bahasa Inggeris hanya berdasarkan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mungkin tidak menepati standard ditetapkan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang usahawan, Abdul Rahman Basri, 50, berpendapat, pengajaran Sains dan Matematik memberi kelebihan kepada pelajar bumiputera menguasai bahasa antarabangsa itu.
Katanya, pelajar Melayu biasanya memerlukan sedikit tekanan supaya mereka tekun untuk menguasai bahasa Inggeris.
Beliau berkata, pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak harus dijadikan isu kerana pelajar mempunyai pilihan menjawab soalan yang dalam dwibahasa.
''Sekiranya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dimansuhkan, tahap penguasaan bahasa itu khususnya bagi pelajar Melayu akan terus lemah,'' katanya.
Bekas guru besar, Ahmad Sabrey Idris, 52, berharap Kementerian Pelajaran dapat mencari mekanisme supaya keputusan berhubung isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris memberi situasi 'menang-menang.'
Menurutnya, situasi hampir serupa apabila kerajaan memansuhkan sekolah aliran Inggeris sekitar 1976 yang memberi kesan terhadap penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar Melayu.
Ketika itu, tambah beliau, pelajar aliran Melayu begitu lemah dalam bahasa Inggeris sehingga sukar mendapat pekerjaan berbanding pelajar lepasan aliran Inggeris.
Pengerusi Persatuan Ketua-Ketua Kampung Malaysia, Mohd. Shahaimi Othman pula berkata, pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris merupakan satu usaha strategik untuk meningkatkan penguasaan generasi baru terhadap bahasa Inggeris.
Katanya, dasar itu adalah pelaburan jangka panjang negara untuk melahirkan bangsa yang bijak dan dapat berhujah dengan berkesan jika berhadapan dengan isu global di pentas antarabangsa.
Peneroka Felda Jengka 7, Ahmad Zubir Abd. Rahim, 50, berharap kementerian terbabit konsisten mempertahankan dasar itu sambil menambah baik terhadap pengupayaan pengajaran di bilik darjah.
Bagaimanapun, katanya, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan pelajar kurang cergas dan di kawasan pedalaman dapat mengikuti pengajaran dengan berkesan. Utusan Malaysia - 27 Oktober 2008.


Sedangkan tindakan ini juga jelas memperkotak-katikkan kedaulatan Bahasa Melayu apabila bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi tunggal negara ini dinafikan peranannya dalam menyampaikan ilmu Sains dan Matematik di sekolah dan juga IPTA.

Dari zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri hinggalah ke saat penghujung karier Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kedaulatan Bahasa Melayu ini terus dicabul sekian lamanya oleh perlaksanaan ini.

Di sini tidak perlu lagilah saya mengulangi kembali apa yang telah saya tulis berkenaan isu ini Kerana apa juga hujah dan alasan yang mereka kemukakan kita tetap menegaskan bahawa ini adalah soal kedaulatan Bahasa Melayu dan hak bangsa kebangsaan sebagai penyampai bagi ilmu Sains dan Matematik ini mesti dikembalikan.

posted by Lidah Penghunus @ 1:58 PM   3 comments

3 Comments:

At 11:10 PM, Anonymous Anonymous said...

Hujah pertahan PPSMI macam kisah tulisan jawi satu ketika dahulu. Kini, nasib akhbar jawi hanya sekadar sisipan. Buku-buku sains dan matematik dalam bahasa Melayu tentu sekali tidak dipedulikan lagi. Majulah, tetapi takkan sampai lupa kain baju. Maruah bangsa kita...

 
At 11:27 AM, Blogger WAK SAPU said...

Nak lihat transkrip wawancara Dato Sri Najib dengan BLOOMBERG TV pada 24 Oktober 2008? Sila layari http://waksapu.blogspot.com/

 
At 11:54 PM, Anonymous Anonymous said...

Salam tuan blog...

blog anda antara blog2 yg saya himpunkan di blog saya :

beritamalaysiakini

dipersilakan jenguk dan memberi pendapat setiap berita yang disiar di blog saya.

tq

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter