Wednesday, April 27, 2011

Akhirnya sama ekor dimansuhkan, pengalaman saya berkenaannya.

Assalamualaikum.

Beberapa hari sebelum saman ekor ini dimansuhkan oleh PDRM saya juga turut menjadi mangsa saman ekor dan yang paling menyakitkan hati ianya bukan kesalahan saya atau isteri saya kerana kami tiada di lokasi tersebut ketika tarikh dan masa yang dinyatakan hampir dua bulan lepas. Setelah semakan dibuat di sebuah balai polis maka terbukti ianya bukan kesalahan saya atau isteri kerana nombor cukai jalan berbeza.

Di sini saya mungkin bernasib baik kerana tarikh kesalahan yang dinyatakan dua bulan daripada tarikh kami terima saman ekor, jadi kami masih boleh ingat di mana kami pada masa itu. Tempat saya bekerja juga tidak jauh daripada balai polis, jadi memudahkan saya untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera dan saman ekor ini sampai selepas saya memperbaharui cukai jalan.

Bayangkan jika perkara ini kena kepada orang kampung yang rumah dan tempat kerja mereka jauh daripada balai polis, mereka juga tidak berapa arif tentang urusan di pejabat kerajaan. Ini ditambah pula saman ini setahun baru mereka dapat tahu, itu pun kerana mereka tidak dapat memperbaharui cukai jalan. Maka ini semua akan menyulitkan orang-orang seperti mereka apatah lagi ianya bukan kesalahan mereka tetapi angkara kelalaian kakitangan berkenaan dalam menjalankan tugas.

Sebab itulah saya menyambut baik tindakan memansuhkan saman ekor oleh PDRM baru-baru ini. Ianya bukan kerana saya sudah terkena tetapi kerana ianya membebankan rakyat keseluruhannya. Sebenarnya banyak lagi cara yang lebih efektif yang boleh difikirkan untuk mendidik pengguna jalan raya selain daripada menggunakan kaedah saman ekor yang serupa dengan ISA ini.

posted by Lidah Penghunus @ 10:43 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter