Saturday, April 30, 2011

Kempen Anti ISA kerana tidak mahu rakyat dianiaya.

Assalamualaikum.

PKR Selangor dibidas guna duit rakyat berkempen mansuh ISA.
KUALA LUMPUR 29 April - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membidas keputusan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggunakan wang rakyat bagi melaksanakan kempen memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan kerajaan negeri itu adalah membazir dan hanya permainan politik bagi menarik sentimen rakyat sekali gus cuba mengalih pandangan mereka terhadap pelbagai isu di Selangor. Beliau berkata, wang itu seharusnya digunakan untuk kebajikan rakyat terutama anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas di negeri itu.

"Walaupun golongan ini sudah dibantu, ramai lagi yang masih belum mendapat pembelaan. Kerajaan negeri perlu melipatgandakan bantuan kepada mereka. "Tentu Allah akan merahmati kerja-kerja mulia itu apatah lagi ia tidak membazir berbanding digunakan untuk meletak papan tanda bagi kempen mansuhkan ISA," katanya dalam satu
kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim berkata, Selangor seharusnya mempertahankan ISA kerana akta itu dapat menjamin keselamatan rakyat dan negara. Menurutnya, ia berikutan wujudnya politik perkauman, pertentangan isu-isu agama dan jenayah serta keganasan antarabangsa yang semakin menjadi-jadi ketika ini. Utusan Malaysia - 30 April 2011.

Kempen anti ISA tujuannya adalah untuk rakyat juga kerana peruntukan tahanan tanpa bicara dalam ISA inilah yang menyebabkan isteri-isteri menjadi seperti ibu tunggal dan anak-anak menjadi seperti anak yatim akibat kehilangan suami dan juga ayah yang dikurung dalam kem Kemunting tanpa melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Sebelum itu saya ucapkan terima kasihlah kepada Ibrahim Ali kerana mengakui bahawa kerajaan negeri membela rakyat khususnya ibu tunggal, anak yatim dan warga emas. Dan saya percaya RM 600,000 yang diperuntukkan kepada kempen ISA ini adalah kecil berbanding peruntukkan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk kebajikan rakyat seperti air 20 meter padu percuma, Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas, hadiah masuk universiti dan pelbagai lagi program kebajikan yang turut melibatkan ibu tunggal dan anak yatim.

Memang benar Allah merahmati mereka yang membuat kerja-kerja kebajikan tetapi kerajaan negeri Selangor sebagai pemerintah juga bertanggungjawab untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri yang jelas zalim dan bertentangan dengan Islam itu agar tidak dipersoalkan dihadapan Allah tentang kepimpinan mereka di akhirat nanti. Kalau pun ISA ini bertujuan untuk mengekang keganasan dan jenayah, tahanan tanpa bicara bukanlah jalannya dan banyak cara lain lagi yang boleh digunakan termasuk menggunakan undang-undang Islam.

Sepatutnya Ibrahim menyokong kempen anti ISA ini kerana beliau sendiri mempunyai pengalaman yang berkaitan ISA ketika Demonstrasi Baling 1974 dahulu yang turut ditahan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Syed Husin Ali. Beliau yang menjadi mangsa ISA inilah yang sepatutnya turut berkempen menentang akta zalim ini agar ianya tidak kena kepada orang lain pada masa akan datang.

posted by Lidah Penghunus @ 9:58 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter