Thursday, April 28, 2011

Larangan terhadap artis yang terbabit aktiviti tidak bermoral di Selangor.

Assalamualaikum.

Tindakan haram artis tak wajar.
Kerajaan Selangor perlu keluar garis panduan, perjelas kegiatan tak bermoral.
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) meminta kerajaan Selangor membuat kajian lebih mendalam mengenai pelaksanaan larangan terhadap artis yang terbabit aktiviti tidak bermoral mengadakan persembahan terbuka di negeri berkenaan, bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tidak dilakukan secara melulu.
Selain itu, ada artis yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri berkenaan sebagai tidak adil kerana menghukum tanpa memberi ruang kepada anak seni yang terbabit untuk berubah atau memperbaiki kelemahan diri.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Harun Salim Bachik, berkata walaupun moral adalah aspek penting yang harus diambil kira dalam undang-undang dan syariah Islam, kajian lebih mendalam mengenai tindakan terbaru itu perlu dilakukan.

Beliau berkata, ini kerana dikhuatiri seseorang artis dikenakan hukuman sedemikian hanya berdasarkan khabar angin atau spekulasi, sekali gus boleh menjejaskan sumber pendapatan mereka.
“Jika seseorang artis itu memang membuat pengakuan sendiri terbabit aktiviti tidak bermoral, ia boleh diterima sebagai suatu kes yang nyata. Namun sekiranya hanya berdasarkan khabar angin dan spekulasi, diharap pihak berkuasa berkaitan tidak mengambil tindakan melulu kerana ia membabitkan periuk nasi artis,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sebuah akhbar harian semalam melaporkan Exco Hal-Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Hasan Mohamed Ali, berkata artis tempatan mahu pun luar negara yang terbabit aktiviti tidak bermoral tidak dibenar mengadakan persembahan terbuka di Selangor kerana ia akan memberi kesan negatif kepada masyarakat, terutama golongan muda di negeri itu. Berita Harian – 28 April 2011.


Artis wanita yang memakai pakai mencolok mata. Artis lelakinya memakai subang, anting-anting dan mewarna rambut. Mereka kelihatan bebas bercampur gaul lelaki dan wanita (walaupun bukan berzina). Semua ini kita boleh saksikan di akhbar, majalah dan televisyen. Adakah semua itu dikira sebagai bermoral? Rasanya jika kita baca berita-berita tidak kira majalah atau pun surat khabar berkenaan artis kita akan dengar tentang artis yang terlibat dengan kes dadah, pergaulan bebas, minuman keras dan pergaduhan dan pelbagai lagi salah laku. Adakah mereka itu dikira tidak terlibat dengan kegiatan tidak bermoral?

Datuk Dr Hasan Ali selaku Exco Hal Ehwal Islam apatah lagi mewakili parti Islam dalam kerajaan negeri bertanggungjawab untuk menjaga akhlak umat Islam khususnya di negeri Selangor ini. Beliau tidak akan sekali-sekali membenarkan artis yang terkenal dengan pakaian tidak senonoh dan salahlaku moral membuat persembahan dan dijadikan ikutan kepada remaja Islam di negeri Selangor ini apatah lagi mereka yang didapati melakukan kesalahan moral yang berat seperti dadah.

Ini bukan soal kita tidak memberi peluang kepada artis untuk berubah, malahan PAS sendiri melalui Dewan Pemuda sudah lama menyantuni dunia artis ini. Hasilnya orang-orang seperti Bob Lokman, Renggo Arrow, malahan Amy Search sendiri sudah mula mendekati kita. Hendak mengubah mereka tidak semestinya dengan memberikan peluang kepada mereka untuk membuat konsert dan mempamirkan akhlak buruk mereka kepada anak-anak muda. Banyak lagi cara lain untuk kita mendekati artis ini dan seterusnya mengubah mereka. Yang penting kita mahu mereka berubah dahulu barulah kita boleh beri peluang kepada mereka untuk membuat persembahan.

Jadi SENIMAN dan artis-artis berkenaan tidak perlu risaulah jika mereka tahu mereka tidak mempunyai salahlaku moral. Kita percaya masih ramai lagi artis-artis Malaysia yang bermoral.

posted by Lidah Penghunus @ 12:30 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter