Thursday, May 12, 2011

Drama "Oh! awangku sayang" dan mahasiswa pada hari ini.

Assalamualaikum

Sisipan akhbar Berita Harian hari ini iaitu Varsiti memaparkan tentang isu yang beri tajuk siswi terlanjur yang membicarakan tentang gejala penzinaan dan kehamilan luar nikah di kalangan pelajar universiti di negara ini yang makin meruncing.

Apabila membaca tentang isu ini saya teringat tentang kisah protes terhadap drama “Oh! Awangku sayang” oleh mahasiswa pada tahun 1965 yang diceritakan oleh Muhammad Abu Bakar dalam buku bertajuk Mahasiswa Menggugat. Pada masa itu mahasiswa daripada Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) telah membantah salah satu siri drama tersebut yang mengisahkan tentang seorang mahasiswa yang dalam kerja lapangan mencabul kehormatan seorang gadis kampung yang menyebabkan gadis tersebut hamil serta mendesak penerbit dan pengarang membatalkan beberapa siri dalam drama tersebut.

Bagi PBMUM pada masa itu penyiaran drama “Oh! Awangku sayang” itu boleh menjatuhkan maruah mahasiswa, menghakis kepercayaan masyarakat terhadap mereka dan merosakkan imej bakal pemimpin negara pada masa hadapan itu. Begitulah tingginya martabat mahasiswa yang diperjuangkan oleh mereka pada masa itu hinggakan hanya sebuah drama rekaan tetapi sebab ianya membawa imej yang buruk kepada mahasiswa pun mereka bantah.

Namun kini isu mahasiswa terlibat dengan penzinaan bukan menjadi rahsia lagi, bukan hanya cerita rekaan pada drama lagi. Realitinya kini gejala pergaulan bebas dan penzinaan sering kita dengar terutamanya di dada-dada akhbar dan kaca televisyen. Apalah nasib negara kita suatu hari nanti jika mahasiswa yang menjadi pelapis kepimpinan negara menjadi seperti ini.

Dahulu ketika timbul isu mahasiswa berpolitk, saya sering mengatakan bahawa mahasiswa ini jika mereka tidak berpolitik mereka akan merempit, melepak membuang masa dan ber’couple’ jadi adalah lebih baik dibiarkan sahaja mereka berpolitik kerana ini sebagai persediaan untuk mereka menghadapi dunia kepemimpinan pada masa akan datang.

Apa yang hendak saya katakan inilah pentingnya perlu ada sesebuah kumpulan yang berperanan untuk menyeru kepada yang maaruf dan mencegah kemungkaran di kalangan warga kampus. Bayangkan ketika saya belajar dahulu adanya Persatuan Mahasiswa Islam yang giat mencegah kemungkaran dan budaya couple pun masih berlaku kes penzinaan dan buang bayi, apatah lagi jika tiada amal maaruf nahi mungkar. Hendak masukkan mereka ke Sekolah Harapan, mereka ini dah dikira golongan intelek. Takkan nak tubuhan Universiti harapan pula.

Tambahan lagi pada zaman saya belajar golongan yang menyeru kepada kebaikan ini yang menguasai Majlis Perwakilan Pelajar. Tidak mustahil semakin mewabaknya gejala sosial di kalangan mahasiswa pada hari ini kerana yang menguasai MPP hari ini golongan yang tidak mahu melaksanakan amal maaruf nahi mungkar malahan menyuburkan budaya mungkar dalam kampus.

Walau bagaimanapun masih ramai lagi sebenarnya mahasiswa yang berakhlak di negara ini yang tahan diuji dengan pelbagai cubaan. Mereka inilah yang seharusnya kita jaga dan gilap bakat kepimpinan mereka, jangan sekat mereka untuk berpolitik kerana merekalah yang sepatutnya mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

posted by Lidah Penghunus @ 1:43 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter