Wednesday, May 04, 2011

Menentang bergabung dengan orang zalim dikira pengkhianat Islam?

Assalamualaikum.

Pengkhianat Islam.
KUALA LUMPUR 3 Mei – Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara UMNO dan Pas sebagai pengkhianat Islam.
Selain itu beliau berkata, mereka juga boleh dianggap pendukung fikrah puak Khawarij iaitu sebuah kumpulan yang amat bencikan kesatuan di dalam Islam.
“Penyatuan (UMNO dan Pas) sebenarnya adalah wajib khususnya untuk kekuatan Islam dan Malaysia amnya. Semua pihak wajib berusaha ke arah itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isu penyatuan serta kerjasama antara UMNO dan Pas bukan satu perkara baru malah ia telah dibincang serta dibahaskan sejak sekian lama sama ada di media mahu pun di kalangan rakyat.
Kerjasama yang dimaksudkan berkaitan dengan perkara membabitkan kepentingan Islam dan Melayu, bagaimanapun usaha itu sering terbantut ekoran keengganan Pas untuk berbuat demikian.
Berbeza dengan Pas, pucuk pimpinan UMNO termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat lebih terbuka dan positif dalam usaha tersebut.
Terbaharu Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya Pas meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.
Juanda berkata, al-Quran sendiri telah memerintahkan supaya umat Islam bersatu padu dan Islam perlu ditegakkan. Utusan Malaysia – 4 Mei 2011.


Yang pertamanya kita sendiri kurang yakin bahawa ini adalah kenyataan sebenar daripada mufti Perlis kerana faham-faham sahajalah sifat munafik Utusan Malaysia ini yang suka memputarbelitkan kenyataan orang terutama terutama sekali yang akan menguntungkan bos mereka iaitu Umno dan Barisan Nasional.

Tetapi jika ianya benar kenyataan daripada Dr Juanda Jaya sendiri, kita tidak tolak perpaduan, apatah lagi apabila ianya menguntung Islam dan menegakkan amal maaruf nahi mungkar. Namun saya nak tanya adakah dikira pengkhianat Islam orang yang menentang penggabungan dengan parti yang menolak hukum Islam? Adakah dikira pengkhianat Islam orang yang tidak mahu PAS berkawan dengan parti yang tidak melaksanakan amal maaruf nahi mungkar malahan menyuburkan kemungkaran di dalam negara?

Adakah seseorang itu mengkhianati Islam apabila dia menentang penyatuan dengan parti yang mengamalkan akta zalim yang bertentangan dengan Islam iaitu ISA, malahan pemimpinnya sendiri senada dengan Amerika apabila menuduh suatu kumpulan Islam sebagai pengganas? Dan adakah pengkhianatan terhadap Islam apabila seseorang itu menolak bergabung dengan Umno yang selama ini mengamalkan korupsi, kronisme dan nepotisme yang menindas ekonomi rakyat.

Memang benar DAP tidak memperjuangkan Islam, tetapi dalam beberapa perkara parti ini senada dengan Islam yang diperjuangkan PAS apabila menentang kezaliman, penindasan, dan ketidakadilan ekonomi yang diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional. Tambahan lagi melalui penerangan yang dibuat oleh PAS sedikit demi sedikit DAP sudah mula terima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Ini berbeza dengan sikap MCA terhadap Islam apabila awal-awal lagi mensyaratkan PAS meninggalkan perjuangan Islam untuk parti itu menyertai Barisan Nasional.

Lihat sahaja negeri-negeri yang diperintah oleh PAS yang bergabung dalam Pakatan Rakyat berbanding dengan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional. Walaupun tidak dapat melaksanakan Islam sepenuhnya tetapi masjid-masjid dapat diimarahkan dengan program-program yang bermanfaat untuk perkembangan Islam. Ustaz-ustaz tidak lagi disekat untuk menyampaikan Islam yang sebenar. Penerangan tentang hukum hudud dan negara Islam diberi ruang yang seluas-luasnya, institusi pendidikan Islam diperkasakan dan penguatkuasaan enakmen Islam dapat dipertingakatkan dalam usaha mencegah kemungkaran.

Ini berbeza dengan Umno yang bukan sahaja tidak mahu melaksanakan Islam, tiada usaha untuk mendidik rakyat tentang pelaksanaan undang-undang Islam, malahan disekat mereka yang ingin memberi penerangan tentang Islam yang sebenar. Sepatutnya Dr Juanda kena nasihatkan juga Umno agar tinggalkan MCA kerana penggabungan Umno dengan MCA yang membuatkan Umno dulu, kini dan selamanya tidak melaksanakan hukum Islam dalam pemerintahan mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 9:30 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter