Saturday, May 07, 2011

Antara PAS - UMNO dan Hamas - Fatah.

Assalamualaikum.

Mukhriz: Perdamaian Hamas-Fatah wajar jadi iktibar penyatuan Pas-UMNO.
BESUT 6 Mei - Perjanjian damai dua pihak yang bertelagah di Palestin, Hamas dan Fatah wajar dijadikan iktibar kepada Pas agar parti itu bersedia untuk berbaik-baik dengan UMNO.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, peristiwa bersejarah penyatuan Hamas dengan Fatah itu adalah contoh terbaik sebagai ukuran kepada kerjasama Pas-UMNO untuk menyatukan seluruh umat Islam.

Malah jelasnya, sudah tiba masanya bagi Pas untuk bersama-sama UMNO demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

"Kalau Hamas dan Fatah yang sekian lama bersengketa sesama sendiri boleh berdamai, kita (Pas dan UMNO) bila lagi. "Kenapa Pas dan UMNO tak boleh (bersatu), dah tiba masa bagi Pas dan UMNO bersatu untuk perpaduan umat Islam di negara ini," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Besut di sini, hari ini. Utusan Malaysia - 7 Mei 2011.

Apabila membaca tentang perjanjian damai antara Hamas dan Fatah di Palestin, saya menjangkakan bahawa isu ini akan dijadikan modal oleh Umno untuk membenarkan apa yang mereka sebut sebagai penyatuan Umno dan PAS di negara ini. Jangkaan saya itu ternyata benar apabila anak Tun Dr Mahathir, Datuk Mukhriz menyebutkan isu ini.

Di sini mudah sahaja. Kita lihat balik kaedah Fiqh Aulawiyah atau Fiqh Keutamaan oleh Dr Yusuf al-Qardhawi. Di Palestin musuh Hamas dan umat Islam di sana adalah rejim Zionis. Hamas mustahil untuk berpakat dengan Zionis, Fatah sebagaimana yang kita maklum cenderung kepada perjanjian damai dengan Israel atau Yahudi, tetapi perjanjian damai Hamas - Fatah ini telah dikecam hebat oleh Israel dan akan membuatkan Fatah menjauhi Israel. Maka keutamaan di sini ialah Hamas perlu berpakat dengan Fatah untuk berhadapan dengan Zionis bukan sahaja musuh negara mereka tetapi musuh kita seluruh umat Islam.

Di Malaysia tiada ancaman daripada rejim Israel secara fizikal tetapi umat Islam di negara ini terancam dengan agenda zionis yang meracuni pemikiran umat Islam negara ini secara senyap-senyap. Salah satunya adalah hiburan melampau yang diberi ruang yang luas oleh Umno demi survival politik mereka (Baru sahaja diberitakan Najib menjadi tamu Hot FM). Jangan lupa Umno juga menggunakan khidmat musuh Hamas dan Fatah iaitu APCO sebagai penasihat.

Di negara kita ada DAP yang turut menentang keterlibatan Umno dalam APCO. Ketika dahulu DAP bersama-sama dengan PAS menentang rancangan Umno untuk melesenkan judi perlawanan bola sepak sempena Piala Dunia. DAP juga adalah parti bersama-sama dengan PAS dan PKR menentang segala bentuk kezaliman dan salah guna kuasa yang diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional. Jadi keutamaannya PAS perlu berpakat dengan DAP untuk menentang Umno dan Barisan Nasional dalam matlamat mewujudkan sebuah negara yang adil dan berkebajikan.

posted by Lidah Penghunus @ 5:36 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter