Thursday, August 24, 2006

Apabila Tun Dr M berhasrat menjadi perwakilan Umno Bahagian.

Assalamualaikum.

Bila baca tentang hasrat bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir untuk menjadi perwakilan ke perhimpunan agung Umno 2006 pada akhbar hari ini, teringat saya semasa era beliau sebagai perdana menteri yang juga presiden Umno ketika dahulu yang mana perhimpunan agung ketika itu Tun duduk di kerusi presiden Umno.

Pada masa itu dapat kita lihat bagaimana ucapan-ucapan daripada perwakilan bahagian, pergerakan pemuda dan wanita yang penuh dengan pujian-pujian serta sanjungan yang tinggi melangit terhadap Dr Mahathir sebagai presiden, hinggakan perhimpunan agung Umno ini dikatakan sebagai medan untuk memuji, menyanjung serta mengampu pemimpin.

Baru-baru ini juga Tun Dr Mahathir pernah menyatakan bahawa ketika beliau masih perdana menteri dahulu kebanyakan ahli-ahli Umno terlampau memuji dan menyokong beliau tanpa mereka ketahui apakah sebab mereka sokong hingga Tun sendiri sangkakan bahawa apa yang beliau buat ketika itu semuanya betul.

Kini Tun yang dahulunya duduk di pentas pimpinan akan mewakili Umno bahagian Kubang Pasu dan menyatakan kesediaan untuk berucap pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan sebaik sahaja kesemua cawangan dan bahagian Umno di seluruh Malaysia selesai mengadakan mesyuarat agung. Tetapi bukan untuk memuji, bukan untuk menyanjung dan bukan untuk mengampu kepimpinan yang sekarang, tetapi hasrat beliau adalah untuk menegur kepimpinan pada perhimpunan yang akan di adakan itu.

Walaupun sebenarnya Tun hanya baru dicalonkan oleh Umno bahagian Kubang Pasu untuk menjadi perwakilan, sudah timbul kerisauan daripada pihak-pihak tertentu apabila Tun sendiri memberitahu bahawa sudah ada individu-individu tertentu yang meminta beliau untuk menarik diri. Jadi sama-samalah kita tunggu apakah yang akan berlaku pula pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan nanti. Mungkinkah akan berlaku sesuatu yang luar jangkaan atau adakah Dr M sendiri akan membuat sesuatu yang di luar jangkaan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:15 PM   1 comments

1 Comments:

At 11:10 AM, Anonymous Anonymous said...

yeah, right. whatever.......

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter