Monday, August 21, 2006

Benarkah BN mampu merampas Kelantan?

Assalamualaikum.

Melihatkan sambutan besar-besaran rakyat Kelantan terhadap Pak Lah semasa tiba di Kota Bharu ahad lalu. Akhbar hari ini merakamkan keyakinan Pak Lah selaku presiden Umno merangkap pengerusi BN bahawa Umno dan Barisan Nasional mampu merampas negeri Kelantan daripada Pas pada pilihanraya akan datang.

"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali tampuk pemerintahan negeri Kelantan daripada Pas berdasarkan sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat Kelantan semasa lawatan beliau ke negeri itu hari ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun telah banyak kali melawat Kelantan tetapi sambutan kali ini adalah yang terbesar kerana ini menunjukkan rakyat Kelantan bersedia untuk membuat perubahan dan penghijrahan minda"

Utusan Malaysia - 21 Ogos 2006

Persoalan di sini adakah benar ramainya sambutan terhadap seseorang pemimpin parti itu bermakna ianya akan diterjemahkan dalam pilihanraya? Sedangkan fenomena ini juga banyak kita dapati dalam parti pembangkang khususnya Pas, bila sahaja pimpinan-pimpinan tertinggi Pas tiba di suatu kawasan atau negeri, sambutan yang diberikan oleh rakyat begitu hebat. Begitu juga ceramah-ceramah umum yang dianjurkan oleh pembangkang khususnya Pas semasa kempen pilihanraya, sambutannya seolah-olah petanda bahawa Pas akan memenangi pilihanraya tersebut. Namun begitu sebaliknya Pas tetap tewas dalam pilihanraya tersebut. Membuktikan kepada kita bahawa sambutan orang ramai bukanlah bermakna sokongan kepada sesebuah parti dalam pilihanraya. Apatah lagi jika ribuan yang hadir itu banyaknya diangkut oleh bas-bas milik Jabatan Persekutuan.

Dalam akhbar berkenaan Pak Lah menafikan bahawa peruntukkan RMK9 kepada Kelantan untuk meraih sokongan rakyat Kelantan dalam pilihanraya akan datang;

"Sementara itu ditanya mengenai peruntukan besar sebanyak RM7.6 bilion kepada Kelantan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Abdullah berkata ia bukan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.
Sebaliknya beliau berkata ia sesuatu yang diperlukan oleh rakyat negeri itu setelah sekian lama tidak ada peruntukan sebesar itu diberikan untuk pembangunan di Kelantan" Utusan Malaysia - 21 Ogos 2006.


Jika benar bagai dikata maka tidak perlulah Pak Lah selaku presiden Umno sebut tentang merampas negeri Kelantan daripada Pas. Serahkan sahaja segala peruntukan tersebut untuk kerajaan Pas Kelantan majukan negeri serambi Mekah itu secara telus serta mengikut acaun Islam. Pas Kelantan bukan tidak ada pemimpin-pemimpin yang pakar dalam pembangunan negeri, antaranya yang menyerlah ialah Husam Musa sendiri yang diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat. Sebelum ini juga kerajaan negeri di bawah Pas telah membuktikan bahawa mereka juga mampu mentadbir negeri, mampu membawa pembangunan kepada rakyat Kelantan. Cumanya peruntukkan untuk kerajaan negeri yang begitu terhad menyebabkan segala perlaksanaan pembangunan menjadi perlahan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:26 PM   1 comments

1 Comments:

At 3:19 PM, Blogger rusila said...

Assalammualaikum

Rajin anda menulis,teruskan usaha...

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter