Thursday, August 17, 2006

Kalau dah menteri pun tak percaya kemampuan Bahasa Melayu, apatah lagi artis

Assalamualaikum.

Menyentuh tentang isu penghinaan Bahasa Melayu oleh seorang pelakon yang telah memenangi anugerah menerusi filem Gubra baru-baru ini. Saya sempat meniliti beberapa SMS daripada pembaca sebuah akhbar perdana berkaitan isu ini. Rata-rata mereka yang memberi komen ini ternyata marah dengan kenyataan biadab pelakon ini, lebih-lebih lagi ianya dinyatakan di depan Menteri Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Ada yang mencadangkan agar anugerah yang diberikan kepada pelakon itu ditarik balik, ada yang mencadangkan agar pelakon ini digam dan ada yang mahu artis itu memohon maaf secara terbuka.

Namun disebalik SMS yang membidas pelakon ini, saya tertarik dengan satu SMS yang menyatakan bahawa ianya juga adalah salah sistem pendidikan kita sendiri yang lebih mengagong-agongkan bahasa inggeris itu sendiri. Rasanya bila disebut tentang perlaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris dalam sistem pendidikan kita maka tidak perlulah saya ulas lanjut lagi kerana perkara ini sudah pun dibincangkan panjang lebar dalam blog ini sebelum ini. Cuma apa yang hendak disebutkan di sini, jika kerajaan sendiri melalui kementerian pendidikan sanggup untuk merendahkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, apatah lagi seorang artis lebih-lebih lagi artis ini yang melakonkan filem murahan yang mengetepikan nilai-nilai adat ketimuran, jauh sekali nilai islam.

Sebelum ini ada usaha daripada kerajaan melalui kementerian pendidikan dan DBP untuk memperkasakan Bahasa Melayu melalui saluran perundangan dan penguatkuasaan, namun begitu adalah amat mengecewakan apabila perlaksanaan pengajaran sains dan matematik ini tidak pun disentuh langsung sedangkan seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini bahawa perlaksanaan tersebut adalah dosa yang paling besar kerajaan terhadap Bahasa Melayu. Sentuh pula tentang kekecewaan yang luahkan oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim terhadap kenyataan pelakon tersebut di hadapan beliau. Beliau harus ingat bahawa sebelum ini juga beliau pernah bertindak biadab terhadap kerajaan negeri Kelantan apabila menganjurkan persembahan Mak Yong di negeri tersebut walaupun tidak benarkan oleh kerajaan negeri melalui Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan.

Jadi tidak perlulah Dr Rais Yatim merasa kecewa kerana beliau sendiri pun pernah berkelakuan biadab, bekas 'bos' beliau sendiri sekarang ini pun dikatakan bertindak biadab apabila mengkritik secara terbuka perdana menteri, malahan baru-baru ini perdana menteri sendiri juga telah bertindak biadab apabila melabel pengkritiknya sebagai iblis.

posted by Lidah Penghunus @ 9:51 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter