Tuesday, August 15, 2006

Nazri cuba membuka ruang persengketaan yang baru antara beliau dengan ahli Umno yang lain.

Assalamualaikum.

Jika semasa era memuncaknya perbalahan antara bekas timbalan perdana menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri dahulu, Dato' Paduka Ibrahim Ali dilihat sebagai individu yang cuba menjadi gurkha yang mempertahankan Tun yang ketika itu menjadi Bos beliau dalam Umno.

Namun kini pada era perbalahan antara Tun Dr Mahathir selaku bekas perdana menteri dengan perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato' Seri Nazri Aziz pula dilihat sebagai individu yang cuba menampilkan diri sebagai gurkha yang sanggup mempertahankan Pak Lah bermati-matian.

Dalam akhbar hari ini Nazri teruskan memperlihatkan dirinya sebagai wira atau pendekar Umno dengan beberapa kenyataannya;

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyelar ahli Umno kerana berpura-pura dalam menangani isu kritikan berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sambil menyifatkan ahli Umno lebih suka bercakap berlapik, Nazri berkata beliau tidak akan goyang daripada menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri kerana berpegang pada prinsip `satu kapal satu nakhoda' Bagi saya, saya tahu Pak Lah adalah pemimpin sebab itu saya tidak hairan dan saya tidak peduli. Orang nak marah, marah la... ini hak saya dan saya tidak pernah berubah.“Dulu masa Tun jadi Presiden Umno, Perdana Menteri, orang lawan dia, saya tampil ke depan sebab itu Tun tahu saya `henchman' (kaki pukul)"

Nampaknya pada masa Umno menghadapi kemelut perbalahan antara bekas perdana menteri dan perdana menteri, Dato' Nazri cuba mencipta persengketaan yang baru iaitu antara beliau dengan segolongan ahli Umno yang lain apabila mengeluarkan kenyataan yang membidas mereka dan seolah-olah menunjukkan beliau sahaja yang pandai, beliau sahaja yang bersungguh-sungguh membela perdana menteri yang juga presiden Umno.

Mengenai kenyataan beliau pada perenggan berikut ini pula;

“Hari ini mungkin orang marah saya, satu hari orang akan terfikir apa yang Nazri buat itu betul, sebab saya tidak reti nak berpura-pura macam sesetengah orang dalam Umno.“Saya tidak peduli... hendak marah, marah lah kerana saya sayang parti kerana saya sudah nampak bibit perpecahan mungkin berlaku kalau kita tidak mengingatkan ahli supaya elak perkara ini berlaku” katanya"

Jika beliau mengatakan demikian maka ianya samalah dengan Tun Dr Mahathir sendiri. Di sini kita andaikan bahawa Tun yang kita kenal sekarang benar-benar ikhlas dalam tindakannya mengkritik kerajaan khususnya perdana menteri. Maka dalam hal ini Tun juga tidak akan peduli apa yang ahli Umno termasuk Nazri kata kepada beliau kerana yang penting sekarang ini beliau sayangkan negara dan beliau perlu mengkritik dan mendedahkan segala kepincangan yang dilakukan oleh pengganti beliau sendiri. Dan suatu hari nanti juga tidak mustahil ahli-ahli Umno termasuk Nazri yang sekarang ini marah atas tindakan mahathir akan mengakui kebenarannya tindakan bekas perdana menteri itu.

Samalah juga dengan tindakan pembangkang khususnya Pas yang selama ini tidak disukai dan dikecam oleh orang Umno, sedikit sebanyak beberapa tindakan ini telah diakui sendiri oleh Umno. Misalnya kaedah demonstrasi, bakar bendera Israel, sudah pun digunapakai oleh pemuda Umno. Baru-baru ini pada sidang parlimen, wakil daripada Barisan Nasional sendiri mengakui kaedah sebat di khalayak ramai yang sebelum ini mereka kecam sebagai tindakan kejam dan melampau. Itu belum disebut lagi pasal kerja lima hari seminggu dan cuti bersalin 90 hari yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bawah pembangkang.

posted by Lidah Penghunus @ 11:30 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter