Wednesday, August 16, 2006

Jika mahu makmum yang baik, imamnya pun kena baik.

Assalamualaikum.

Dalam menghadapi kemelut Mahathir-Pak Lah yang makin berlarutan, akhbar hari ini ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhd Taib menyeru kepada sekalian ahli Umno agar menghayati konsep 'imam-makmum' dalam solat berjemaah;

“Masa kita jadi imam orang ikut... kita jadi imam yang baik, tetapi apabila orang lain jadi imam, kita pula mesti jadi makmum yang baik supaya imam yang ada ketika itu dapat menjadi imam yang baik"

Di sini kita amat setujulah bahawa dalam perkara solat berjemaah juga kita sudah diajar tentang adab-adab kepemimpinan dan yang dipimpin. Di sini juga saya teringat dengan kuliah seorang ustaz yang menyebut sedangkan imam solat yang lima minit ini pun kita perlu memilihnya dengan teliti, apalagi imam yang akan memimpin kita selama lima tahun.

Jika sebelum mendirikan solat berjemaah, imam yang akan memimpin solat berjemaah itu perlu dipilih dengan teliti berdasarkan ilmunya, bacaannya, latar belakangnya, akhlaknya dan pelbagai lagi aspek yang perlu diambil kira agar solat berjemaah itu dapat dilaksanakan dengan sempurna dan diterima Allah dan semasa berlangsungnya solat berjemaah, jika didapati imam tersebut melakukan kesalahan, makmum dibelakang boleh menegurnya dengan kaedah yang ditetapkan oleh syarak.

Malahan jika imam tersebut membuat kesalahan yang menyebabkan solatnya terbatal maka makmum di belakang boleh 'menumbangkan' imam tersebut dan mengambil alih tempat imam tersebut juga dengan kaedah yang diajarkan oleh syarak. Jadi apa yang dapat disimpulkan di sini, jika mahu para makmum itu taat kepada seseorang imam, maka imam itu terlebih dahulu mestilah betul dan memenuhi ciri-ciri seorang imam.

Begitu jugalah halnya dengan kepemimpinan negara, jika mahukan rakyat yang taat setia kepada seseorang pemimpin, maka pemimpin itu mestilah membuktikan bahawa dia adalah pemimpin yang taat kepada Allah dan mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang baik kepada rakyat. Jika pemimpin itu berbuat salah maka dia mestilah sedia dikritik dan jika pemimpin itu sudah tidak mampu untuk memimpin negara maka dia perlulah melepaskan jawatannya kepada orang lain jika tidak pun rakyat akan menumbangkannya melalui pilihanraya.

posted by Lidah Penghunus @ 11:16 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter