Thursday, August 24, 2006

Pemuda pelbagai parti berhimpun atas nama keamanan sejagat

Assalamualaikum.

Majlis Perhimpunan Gabungan Pemuda Malaysia membantah kekejaman rejim zionis di Dewan Bahasa Pustaka yang berlangsung semalam mengingatkan saya bahawa di tempat yang sama juga Tun Dr Mahathir semasa masih menjadi perdana menteri bersama-sama Al marhum Ustaz Fadhil Noor dalam satu pentas berbicara tentang isu Palestin dan keganasan rejim Zionis.

Majlis yang berlangsung semalam juga telah membuktikan kepada kita bahawa Pas boleh bersama dengan mana-mana pihak dalam isu yang melibatkan keadilan sejagat dan kepentingan bersama. Jika sebelum ini ramai orang marah termasuk ahli Pas sendiri apabila Pas menghadiri majlis yang Tun Dr Mahathir berucap, namun semalam mereka telah saksikan bagaimana pemuda Pas telah berucap dalam pentas yang sama dengan pemuda Barisan Nasional. Ini bukanlah bermaksud mereka telah redha terhadap dasar mereka. Pas tetap dengan dasar islamnya dan menolak fahaman politik sempit amalan Barisan Nasional. Namun oleh kerana pemuda BN bersedia untuk berbicara tentang nasib umat islam Palestin, maka Pemuda Pas bersedia untuk sepentas dengan mereka.

Sebelum ini juga heboh diperkatakan tentang pemimpin-pemimpin tertinggi Pas turut bersalaman dengan Tun Dr Mahathir, dalam akhbar siang tadi kelihatan gambar pemimpin gabungan pemuda-pemuda parti politik di Malaysia berganding tangan sebagai tanda komitmen mereka terhadap isu keamanan sejagat. Ini samalah juga dengan Menteri Besar Kelantan yang sebelum ini dilihat menghadiri program ucapan Tun di Kota Bharu dan minggu lepas juga Mursyidul Am Pas itu kelihatan agak mesra dengan perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ini membuktikan bahawa islam yang diperjuangkan oleh mereka tidaklah sejumud yang disangka. Jika pemuda Pas bersedia bekerjasama dengan pemuda BN dalam isu sejagat, Tok Guru Nik Aziz pula sedia menerima Tun Dr Mahathir dan juga Pak Lah sebagai tetamu kerajaan negeri.

posted by Lidah Penghunus @ 12:58 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter