Tuesday, August 22, 2006

Tidak semua konflik itu berpunca daripada masalah perbezaan bahasa

Assalamualaikum.

Hari ini saya tertarik untuk mengulas tentang kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir yang dipaparkan pada akhbar hari ini yang menyebut bahawa pembelajaran dan pengetahuan tentang bahasa asing boleh membantu dalam mengurangkan dan menyelesaikan masalah serta konflik dunia hari ini.

"Bekas Perdana Menteri itu berkata, dengan belajar dan mengetahui bahasa orang lain, seseorang itu mampu berkomunikasi dan memahami dengan lebih baik antara satu sama lain dan ini mungkin boleh membantu mengurangkan konflik yang menjurus kepada banyak pembunuhan sebagaimana yang disaksikan dunia hari ini. Ini bukan cara bertamadun... Cara paling bertamadun ialah dengan belajar bahasa orang lain. Bayangkan Presiden Bush (Presiden Amerika Syarikat George W.Bush) bercakap dalam bahasa Arab kepada Osama bin Laden (pemimpin Al-Qaeda) untuk menjelaskan masalah Amerika dan Osama pula menerangkan masalah yang dihadapinya" Utusan Malaysia - 22 Ogos 2006.

Mungkin kenyataan Tun ini ada benarnya jika sesuatu konflik atau perbalahan itu berpunca daripada perbezaan bahasa yang mewujudkan salah faham di antara dua pihak. Tetapi tidak semua masalah itu berpunca daripada perbezaan bahasa atau tidak faham tentang bahasa atau dialek sesuatu pihak. Banyak sebab lain yang menjadi punca utama kepada sengketa dan perbalahan ini antaranya soal prinsip, ideologi, perjuangan hak asasi, penguasaan ekonomi, sejarah dan pelbagai lagi faktor yang bukan faktor komunikasi.

Saya percaya Usama Bin Laden dengan latar belakang pendidikannya maka beliau tiada masalah untuk memahami dan bertutur dalam bahasa inggeris. Dan saya juga percaya Bush walaupun tidak mengetahui bahasa Arab tetapi dengan kedudukan beliau sebagai ketua negara bagi negara kuasa besar dunia, sudah tentu beliau dikelilingi oleh perterjemah daripada pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab. Walaupun begitu kedua-kedua pemimpin yang mewakili dua peradaban yang bertentangan ini tetap tidak boleh duduk semeja kerana secara tradisinya Bush sudah menganggap bahawa Usama dan gerakannya adalah pengganas yang harus dihapuskan dan Usama juga menganggap Bush dan Amerika Syarikat adalah musuh umat islam yang telah banyak melakukan kezaliman terhadap umat islam.

Contoh lain yang boleh kita lihat ialah di timur tengah iaitu permusuhan antara rejim Zionis dan umat islam. Sebagaimana yang telah kita maklum bukan sekali umat islam Palestin dan rejim Zionis pernah ditemukan dalam satu meja untuk membincangkan tentang perdamaian. Namun begitu hingga ke mutakhir ini juga perperangan tetap berlaku antara umat islam dan yahudi. Ini adalah kerana faktor sejarah itu sendiri dan dalam quran dan hadis juga sudah jelas bahawa permusuhan antara Islam dan Yahudi itu akan berterusan hingga ke penghujung zaman dan ketika itu umat islam akan bangkit menewaskan Yahudi. Selain daripada itu, konflik di Selatan Thailand dan Filifina juga adalah contoh dua pihak yang mempunyai bahasa pertuturan yang sama namun oleh kerana faktor perjuangan hak mendapatkan pemerintahan maka sehingga kini konflik masih berlarutan.

Dalam isu ini walaupun Tun hanya menyebut tentang konflik atau perbalahan yang melibatkan perperangan dan pembunuhan, namun saya berminat juga untuk menyentuh isu ini dalam konteks Malaysia. Contoh yang paling jelas sekali ialah perbalahan antara Tun sendiri dengan perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sudah jelas bahawa dua individu ini dalam parti yang sama, pernah atau sedang memegang jawatan yang sama dan bertutur dalam bahasa yang sama malahan dalam loghat atau dialek yang hampir sama. Namun begitu atas sebab perbezaan prinsip tetap belaku perbalahan. Begitu juga bila disentuh tentang pertikaian antara Pas dan Umno. Dua-dua parti ini walaupun dasarnya berbeza namun keahliannya banyaknya adalah orang melayu yang bertutur dengan bahasa yang sama. Namun begitu atas sebab prinsip perjuangan dan ideologi politik, tetap wujud perseteruan yang sengit antara dua parti ini di persada pentas politik Malaysia. Namun begitu ianya tidaklah sampai kepada yang disebutkan oleh Tun itu tadi.

Jadi di sini jelas bahawa mempelajari dan memahami bahasa asing bukanlah faktor yang kuat dalam mengurangkan dan menangani konflik di dunia ini. Jika diambil pertentangan antara Yahudi dan Islam itu tadi, penyelesaiannya tidak dapat tidak dunia islam itu sendiri mestilah menguatkan akidah mereka, bersatu di bawah akidah yang benar dalam menghadapi yahudi yang selamanya akan memusuhi islam dan memenuhi janji Allah bahawa umat islam akan mengalahkan kaum Yahudi. Begitu juga dalam pertikaian antara Pas dan Umno, mahu tidak mahu Umno yang memegang tampuk pemerintahan mestilah membuang jauh sekularisme yang mendasari perjuangan mereka selama ini, mengambil islam secara menyeluruh dalam pemerintahan mereka dan mewujudkan pemerintahan yang adil dan saksama dalam pelbagai aspek. Jika semua ini diambil kira, saya percaya andaikata kedua-kedua pihak itu mempunyai bahasa yang berbeza pun insya-Allah tidak akan berlaku perbalahan yang besar.

posted by Lidah Penghunus @ 3:07 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter