Saturday, August 26, 2006

Ingin buktikan negeri terawal terima Islam tetapi tidak laksanakan Islam secara syumul.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini memaparkan kesungguhan kerajaan negeri Terengganu untuk membuktikan bahawa Islam masuk ke Tanah Melayu melalui Terengganu berdasarkan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang yang menceritakan secara lengkap undang-undang yang ada pada batu bersurat berkenaan.

Jika dilihat berdasarkan batu bersurat di Kuala Berang yang bertarikh 1303 masihi itu memang tidak dinafikan bahawa ia adalah bukti yang agak kuat untuk menyatakan bahawa islam mula-mula masuk ke Tanah Melayu melalui bumi Terengganu yang sekaligus membuktikan negeri tersebut terawal menerima islam.

Namun begitu apalah gunanya hanya berbangga dengan gelaran negeri yang pertama menerima islam di gugusan tanah melayu, berbangga dengan penemuan-penemuan dan artifak sejarah yang membuktikan ketika masa dahulu islam begitu mahsyur di negeri tersebut. Namun sekarang ini ianya hanya tinggal sejarah semata-mata. Lebih malang sekali apabila bukan sahaja islam itu tidak diamalkan secara tuntas, malahan ianya telah diubah pula kepada nama islam hadhari.

Sedangkan perlaksanaan islam hadhari yang mereka war-warkan berbeza sekali dengan perlaksanaan islam yang sebenarnya. Ini kita dapat lihat di negeri Terengganu sekarang ini di bawah pemerintahan Barisan Nasional walaupun ada bukti melalui batu bersurat yang menunjukkan bahawa negeri ini yang terawal menerima islam dan melaksanakan undang-undang islam, mendapat gelaran darul iman, namun masih lagi menggunapakai undang-undang penjajah dan tidak berusaha untuk melaksanakan undang-undang islam seperti kerajaan negeri yang sebelumnya. Budaya hedonisme kembali subur, juara Akademi Fantasia di sanjung dan rakyat kembali ditindas dengan perlaksanaan kembali cukai yang telah dihapuskan oleh kerajaan negeri yang terdahulu.

Jadi sepatutnya disamping mempromosi tentang negeri yang terawal menerima dan melaksanakan islam, kerajaan negeri Terengganu mesti memastikan agar islam yang syumul ini terus dapat dilaksanakan di negeri darul iman itu. Jika kita lihat Andalusia di Spanyol negara tersebut menerima islam dahulu daripada Terengganu, tercatat dalam sejarah sebagai negara islam yang berjaya mencipta kegemilangan tamadun islam. Namun kini tiada apa yang tinggal untuk negara tersebut kekal sebagai negara islam. Walaubagaimana pun ianya adalah kerana negara tersebut telah dirampas kembali oleh orang kristian. Tetapi di Terengganu pemerintahan adalah di tangan orang islam sendiri, maka adalah tidak patut jika islam itu tidak boleh diamalkan secara syumul.

posted by Lidah Penghunus @ 1:54 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter