Isu tahanan lokap polis dipukul.
Assalamualaikum.
Menyentuh tentang kes tahanan lokap polis yang didakwa dipukul, diterajang dan diperlakukan sewenang-wenangnya yang tersebar melalui internet dan disiarkan melalui Buletin Utama TV3 baru-baru ini, sebenarnya ianya bukanlah lagi rahsia bagi kita orang awam sekalipun tidak pernah masuk lokap tidak pernah merasai bagaimana keadaan dikurung di lokap balai polis. Cumanya isu ini tidak berapa ketara kerana masih kurang lagi kesedaran di kalangan rakyat kita tentang hak asasi mereka, terutama tentang kewujudan Suhakam yang melindungi hak-hak tahanan lokap untuk tidak dikasari.
Ini bukanlah bermaksud saya hendak membela penjenayah, memang penjenayah patut dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka. Tetapi adalah tidak patut untuk memperlakukan tahanan-tahanan ini dengan sewenang-wenangnya, iaitu dengan disepak, diterajang, dipaksa menjilat air ludah sendiri, sedangkan mereka hanya tahanan lokap yang belum lagi disabit bersalah oleh mahkamah dan mereka masih dalam peringkat penyiasatan. Jika benar pun mereka ini terbukti bersalah, adalah tidak patut mereka diperlakukan sebegitu.
Di sini saya memahami tentang perasaan marah anggota-anggota polis terhadap penjenayah ini, lebih-lebih lagi penjenayah yang melibat pembunuhan kejam, rogol dan sebagainya. Ada seorang ustaz bercerita semasa dia memberi kuliah agama di balai polis, dia diceritakan oleh seorang anggota polis di situ tentang bagaimana geramnya mereka terhadap seorang pesalah rogol yang telah berumur tetapi tergamak merogol cucunya sendiri hinggakah orang tua itu mereka terajang hingga tersungkur ke lubang tandas. Malahan saya akui saya sendiri pun belum tentu dapat menahan marah jika bertemu dengan pesalah-pesalah jenis ini yang jelas tidak berhati perut.
Namun apapun alasan dan sebabnya, hakikatnya ianya tetap tidak patut dilakukan oleh kita yang dianggap bertamadun, apalagi ajaran islam yang jelas melarang perbuatan sedemikian selagi orang itu belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah yang adil. Kerana jika benar-benar orang itu terbukti bersalah, maka dia akan menerima juga hukuman yang setimpal daripada kesalahannya. Saya berpendapat perkara-perkara sebegini terjadi kerana negara kita sendiri tidak mengamalkan undang-undang yang ditetapkan oleh al quran, kita menggunakan hukum ciptaan manusia, maka hukuman yang diberikan untuk beberapa kesalahan adalah tidak setimpal.
Misalnya hukuman kesalahan rogol hanya dipenjara dan beberapa sebatan sahaja. Ini samalah dengan hukuman untuk kesalahan mencuri dan merompak yang hanya dipenjara sahaja. Maka tidak mustahillah dengan hukuman yang tidak setimpal ini maka pihak polis akan melepaskan geram mereka terlebih dahulu terhadap pesalah-pesalah ini di lokap. Jika hukum islam dilaksanakan insya-Allah saya percaya perkara sebegini tidak akan berlaku kerana dengan terlaksananya hukum islam juga selain keberkatan daripada melaksanakan perintah Allah, anggota polis juga akan terdidik dengan akhlak islam.
Akhbar hari ini juga ada memaparkan ulasan timbalan menteri keselamatan dalam negeri berhubung isu berkenaan;
"Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom menyifatkan kaedah siasatan polis sebagaimana yang dipaparkan oleh sebuah stesen televisyen malam tadi sebagai keterlaluan. Ia tak patut dilakukan sedemikian rupa (umpamanya) dengan menendang. Saya tak setuju,” katanya kepada para pemberita semasa diminta mengulas laporan itu hari ini." Utusan Malaysia - 28 Ogos 2006.
Apa yang ingin saya persoalkan di sini ialah apabila beberapa peserta demonstrasi membantah kenaikan harga minyak beberapa bulan lalu disepak dan diterajang oleh sepasukan FRU hingga ada antara mereka yang dikejarkan ke hospital kerana mengalami pendarahan di kepala, tidak ada pun ulasan menteri berkenaan berhubung kelakuan pasukan polis yang jelas keterlaluan itu. Jika di tempat terbuka seperti dataran KLCC itu pihak polis berani memperlihat keganasan mereka terhadap orang awam, apatah lagi di lokap-lokap balai polis yang jauh daripada pandangan mata orang awam dan media.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home