Reformis atau modenis?
Assalamualaikum.
Akhbar hari memaparkan kenyataan Dato' Seri Najib di Sabah semasa berucapkan merasmikan mesyuarat agung bahawa Umno adalah parti reformis yang mencetuskan banyak perubahan bagi meningkatkan status hidup rakyat. Bila sebut tentang perkataan reformis ini, semasa zaman meledaknya kebangkitan rakyat era reformasi Anwar Ibrahim dahulu, perkataan reformasi ini menjadi alergik kepada pemimpin-pemimpin Umno sendiri. Pantang bila sebut reformasi maka mereka akan mengaitkannya dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Tetapi kini mereka tidak lagi menganggap Anwar Ibrahim sebagai ancaman yang amat besar kepada mereka. Bagi mereka ancaman yang besar bagi mereka sekarang ini ialah bekas presiden mereka sendiri iaitu Tun Dr Mahathir. Maka tidak hairanlah perkataan 'reformis' dan 'agen perubahan' yang selama ini dilaung-laungkan oleh gerakan anti establish berkumandang di bibir timbalan presiden Umno sendiri.
Di sini juga ingin saya persoalkan benarkah Umno layak digelar reformis? Lebih-lebih lagi kurang seminggu lagi kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-49. Adakah Umno sudah benar-benar melakukan perubahan dalam sistem pemerintahan negara dengan membuang jauh sistem dan undang-undang warisan penjajah dan melaksanakan sepenuhnya sistem islam? Jika maksud reformis oleh Najib itu itu berdasarkan perenggan di bawah ini;
"Kita bukan bangga dengan kuasa tetapi kita berjaya mengubah suasana dari negara miskin menjadi kaya, daripada mundur menjadi berjaya dan itulah Umno sebagai reformis dan sebagai ejen perubahan,"
Benarkah keseluruhan rakyat Malaysia ini sudah mengecapi ni'mat kekayaan yang melimpah ruah di negara ini? Sedangkan kekayaan ini hanya berlegar di sekeliling golongan tertentu yang hanya ada kaitan dengan pemerintah sahaja dan rakyat bawahan terus dihimpit dengan peningkatan kos hidup melalui kenaikan harga minyak, kenaikan tarif elektrik, ancaman kenaikan harga gula akibat kekurangan bekalan di pasaran, kenaikan pelbagai jenis cukai dan pelbagai lagi himpitan ekonomi terhadap rakyat.
Minda dan pemikiran masyarakat kita juga terus di sekat dengan pelbagai akta bertujuan untuk melindungi kelangsungan politik pemerintah. Masyarakat hanya diajar agar terus patuh dan taat kepada pemerintah walaupun segala kecurangan terus berlaku. Yang terbaru minda kritis rakyat terus disekat apabila laman-laman blog mula hendak di'kacau' Akibatnya lahirlah masyarakat yang mindanya dihanyutkan dengan hiburan, isu-isu sensasi artis dan pelbagai lagi perkara-perkara yang tidak membangunkan minda. Yang terbaru, esok masyarakat akan diajak untuk menilai secara 'kritis' perbalahan antara Mawi dan bekas tunangnya.
Jika dilihat melalui teori pemikiran. Reformis adalah golongan yang berusaha untuk melakukan perubahan daripada pelbagai aspek namun mereka tetap tidak meninggalkan islam sebagai cara hidup, malahan mereka tetap memperjuangkan islam sebagai ad din. Sedangkan Umno yang kononnya berusaha untuk melakukan perubahan terus meminggirkan islam yang syumul dalam agenda perjuangan mereka. Maka mereka ini hanya layak digelar modenis.
Tentang kenyataan Najib di bawah ini pula;
"Dalam nada berkias, Najib mengulangi ikrar untuk ‘tidak akan terjun dari kapal’ yang dikemudi Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Malah, beliau berjanji akan bersama ‘belayar mengharungi samudera hingga tiba ke destinasi perjuangan."
Apa yang kita lihat 'kapal' yang dinaiki oleh najib itu sedang bergelora dan menunggu masa untuk tenggelam oleh kerana kapal tersebut menggunakan 'enjin jahiliah moden' serta kelemahan pengemudi kapal itu sendiri. Jadi kita mahu lihat adakah Najib akan sanggup tenggelam bersama kapal itu satu hari nanti, mati bersama-sama mereka? Jika tidak mahu tenggelam Najib dan orang-orang Umno terlebih dahulu mestilah menukar 'enjin' kapal tersebut daripada jahiliah moden kepada islamik dan menukar pengemudinya yang dilihat lemah dalam mengemudi kapal tersebut.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home