Percubaan untuk menghalalkan tindakan ganas anggota polis.
Assalamualaikum.
Semalam dalam blog ini saya ada menyentuh tentang kes tahanan lokap polis yang disepak dan diterajang secara melampau oleh anggota-anggota polis yang bertugas di lokap balai polis berkenaan. Ekoran daripada isu tersebut, akhbar siang tadi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri atau KKDN mengkaji untuk mengehadkan penggunaan telefon bimbit berkamera di kawasan tertentu dan sensitif, termasuk di lokap balai polis;
"Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata langkah itu dibuat berikutan kegiatan merakamkan perbuatan memukul tahanan di dalam lokap menggunakan telefon bimbit berkamera sehingga menjejaskan kewibawaan pasukan keselamatan itu." Utusan Malaysia - 29 Ogos 2006.
Nampaknya cadangan KKDN ini seolah-seolah cuba menutup keganasan yang berlaku di lokap balai polis daripada diperlihatkan ke pengetahuan umum dan sekaligus menggambarkan bahawa aksi memukul tahanan di lokap balai polis seperti yang dipaparkan beberapa hari lalu bukanlah kes yang pertama malahan boleh dikatakan bahawa tindakan memukul tahanan di lokap balai polis ini adalah perkara yang biasa berlaku di kebanyakan balai polis.
Sepatutnya dalam menangani insiden yang memalukan jabatan polis dan KKDN sendiri ini, mereka sepatutnya mengambil langkah yang tegas dalam memastikan tidak berlaku lagi tindakan-tindakan yang memalukan oleh anggota-anggota di bawah mereka ini tidak kira dalam proses penyiasatan mahupun dalam menangani penunjuk perasaan. Namun sebaliknya mereka lebih berminat untuk mengadakan peraturan yang bertujuan untuk menyembunyikan kecurangan yang dilakukan oleh anggota mereka sendiri.
Laporan berita malam ini pula media arus perdana seolah-olah cuba menghalalkan dan membenarkan tindakan anggota-anggota polis yang menyepak dan menerajang tahanan di lokap yang didakwa melakukan rompakan apabila menyiarkan temuramah mangsa rompakan yang menyokong tindakan anggota polis menyepak dan menerajang suspek yang merompak mereka. Dalam temuramah yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3 itu, suami isteri mangsa kepada perompak berkenaan, menceritakan bagaimana mereka suami isteri dan seluruh ahli keluarga mengalami trauma akibat kejadian tersebut apabila mereka suami isteri nyaris-nyaris menjadi korban perompak-perompak yang kini merengkok di lokap balai polis.
Oleh kerana itu mereka menganggap tindakan menyepak dan menerajang perompak-perompak yang telah pun ditahan itu adalah wajar dan setimpal dengan apa yang telah dilakukan terhadap keluarga mereka . Malahan anggota-anggota polis ini dianggap wira oleh pasangan suami isteri ini. Di sini saya amat-amat memahami perasaan trauma dan marah yang dialami oleh pasangan suami isteri berkenaan. Namun seperti yang saya sebutkan dalam penulisan sebelum ini, adalah tidak wajar kerana mengikutkan perasaan marah, dendam dan trauma, kita membenarkan sesuatu yang di luar batas hak asasi manusia, di luar norma peradaban manusia dan bertentangan dengan hukum islam. Lebih-lebih lagi mangsa adalah seorang imam yang saya percaya sedikit sebanyak tahu tentang larangan islam melakukan kekasaran terhadap tahanan lebih-lebih lagi yang belum disabitkan bersalah oleh mahkamah yang adil.
Kita akui bahawa apa yang dilakukan oleh perompak-perompak tersebut terhadap pasangan suami isteri berkenaan adalah tindakan yang zalim dan melampau yang perlu dikenakan hukuman setimpal, namun begitu tindakan polis menyepak dan menerajang perompak-perompak yang ditahan di lokap balai yang belum disabitkan bersalah juga adalah satu tindakan yang zalim dan melampau. Di sini juga saya ingin menegaskan kembali pendapat saya pada penulisan sebelum ini bahawa insiden-insiden ini berlaku kerana undang-undang islam tidak dilaksanakan di negara ini. Kerana jika hukum islam itu berjalan di negara kita, maka saya percaya dengan hukuman hudud iaitu potong tangan terhadap perompak-perompak yang telah disabitkan bersalah melalui mahkamah yang adil, maka tidak akan timbul rasa tidak puas hati oleh suami isteri yang menjadi mangsa rompakan itu tadi.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home