Saturday, September 09, 2006

Bagaikan pilihanraya kecil Parlimen Kubang Pasu

Assalamualaikum.

Mesyuarat agung Umno bahagian Kubang Pasu yang juga berlangsungnya pemilihan perwakilan bahagian G7 siang tadi dirasakan seolah-olah pilihanraya kecil bagi parlimen Kubang Pasu. Mana tidaknya, saya sendiri siang tadi selepas sahaja pukul dua sudah tertanya-tanya keputusan 'pilihanraya' tapi hampa apabila diberitahu bahawa keputusannya selepas jam 5 petang. Berdebar-debar pula rasanya. Tidak setakat itu berita TV tengah hari pun sempat membuat lintas langsung tentang perjalanan mesyuarat agung tersebut.

Dan keputusannya semua pun sudah maklum bahawa hasrat Tun Dr Mahathir untuk menjadi perwakilan bahagian tidak kesampaian. Nampaknya termakbul juga hasrat ahli-ahli Umno sekalian yang tidak mahu melihat bekas presiden yang mereka sayangi jatuh tarafnya sebagai seorang negarawan. Sedangkan bekas presiden mereka tidak pun rasa begitu. macam saranan Dato' Seri Rafidah Aziz agar Tun hadir sebagai tetamu khas, bagi saya apalah guna menjadi tetamu khas yang kononnya mendapat penghormatan yang tinggi tetapi tidak dapat bersuara, maka ianya seolah-olah menjadi maharaja boneka yang namanya sahaja terhormat, disanjung tetapi tiada apa kuasa untuk berbuat sesuatu. Sehari sebelum hari pengundian juga kita telah saksikan kempen besar-besaran yang begitu hebat agar Tun tidak diundi untuk perwakilan. Orang yang turun padang berkempen bukan calang-calang orang, daripada ketua bahagian, ketua badan perhubungan Umno negeri, menteri kabinet pun ada.

Walaubagaimana pun itulah keputusannya yang perlu Tun Dr M terima dan Pas pula tetap dengan prinsipnya iaitu terus memperjuangkan islam dan sedia bersama-sama dengan pihak yang lain atas nama keadilan dan kebenaran. Apa yang hendak saya utarakan di sini perbalahan bekas perdana menteri dengan perdana menteri ini sebenarnya menonjolkan lagi Pas sebuah parti yang ulung yang tidak mampu sebenarnya ditandingi oleh Umno dari segi perpaduannya. Umno sebagaimana kita tahu, sudah beberapa kali dilanda perpecahan, malahan hingga parti melayu itu pernah diharamkan oleh ketua hakim negara dan kini perpecahan dalam Umno memasuki dimensi baru apabila bekas presidennya sendiri yang ketika masih berada dalam parti menentang presiden parti hingga ke tahap sanggup untuk menggunakan saluran perwakilan bahagian untuk tujuan mengkritik kepimpinan Pak Lah sebagai presiden Umno dan juga perdana menteri. Sedangkan ini tidak berlaku pun dalam Pas. Mengulas pula tentang kenyataan timbalan presiden Umno dalam akhbar hari ini;

"Timbalan Presiden UMNO itu berkata, sejarah telah membuktikan bahawa UMNO menjadi lemah kerana masalah yang berlaku di kalangan pemimpin dan kesannya parti kehilangan beberapa kerusi dalam pilihan raya. Parti lawan katanya, tidak kuat tetapi mereka mengambil kesempatan daripada kelemahan UMNO akibat perpecahan dalaman dan krisis kepimpinan" Utusan Malaysia - 9 September 2006.

Sebenarnya perpecahan dalam Umno itulah menunjukkan lambang kekuatan parti pembangkang khususnya Pas kerana dalam pada Umno yang sering bergolak Pas berjaya mempertahankan perpaduannya. Apakah rahsianya? Sudah tentulah islam yang menjadi dasar Pas itu sendiri yang mengikat hati-hati ahli jemaah Pas agar bersatu di bawah islam. Dalam akhbar yang sama hari ini juga timbalan presiden Umno menggesa ahli-ahli Umno agar merealisasikan perbalahan sifar dalam parti tersebut. Untuk merealisasikan matlamat perbalahan sifar ini, mahu tidak mahu Umno itu sendiri mestilah kembali kepada islam yang syumul bukan islam hadhari al dirar (ungkapan ini saya perolehi semasa usrah jumaat lepas, mengambil sempena nama masjid Dirar yang dibina oleh kaum munafik untuk kononnya menonjolkan islamiknya mereka tetapi sebaliknya untuk memecahbelahkan umat islam) Bak kata pepatah, "biduk berlalu, kiambang bertaut" kiambang itu adalah orang melayu, biduk itu pula adalah sekularisme yang mendasari kehidupan mereka, maka untuk mereka kembali bertaut maka sekurisme itu mestilah mereka biarkan berlalu daripada anutan mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 11:54 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter