Thursday, September 07, 2006

Masalah antara kaum tidak boleh diselesaikan dengan cara perkauman, tetapi dengan cara islam.

Assalmualaikum.

Sejak timbul isu penggiliran ketua menteri Pulau Pinang serta kemunduran masyarakat melayu Pulau Pinang yang dibangkitkan oleh pemuda Umno Pulau Pinang sebulan yang lalu pergeseran antara Gerakan dan Umno khususnya sayap pemuda terus berlarutan hingga ke saat ini. Yang terkini, akhbar siang tadi memaparkan tentang tindakan pemuda Umno Bahagian Balik Pulau membawa sepanduk mengkritik ketua menteri pulau pinang yang telah membangkitkan kemarahan ahli Gerakan di negeri tersebut. Buletin Utama hari ini pula memaparkan kenyataan ketua menteri Pulau Pinang yang juga timbalan presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bahawa pertelingkahan antara Gerakan, pemuda Umno dan MCA di Pulau mutiara itu masih lagi dalam keadaan hangat.

Semalam saya berpeluang menghadiri Majlis Makan Malam Perpaduan Nasional anjuran Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat yang bertujuan untuk merapatkan Pas dengan kaum-kaum cina dan india yang bukan beragama islam. Majlis tersebut turut dihadiri oleh presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang turut menyampaikan ucapan serta merasmikan buletin Pas berbahasa mandarin dan kuih bulan Pas. Antara perkara-perkara penting yang boleh diambil daripada ucapan tuan guru presiden ini ialah tentang keadilan islam itu sendiri. Jelas tuan guru Haji Hadi dalam islam tiada konsep bumiputera. Yang ditolong, yang dibantu bukan berdasarkan status bumiputera tetapi adalah kerana mereka itu orang susah dan memerlukan bantuan tidak mengira status kaum dan agama. Dalam ucapannya itu juga tuan guru menjelaskan kandungan al quran bahawa bumi ini bukan milik bangsa melayu, bukan milik kaum cina, bukan milik kaum india tetapi adalah milik Allah dan dikurniakan kepada orang-orang yang baik sebagai khalifah. Jelas tuan guru lagi, jika sesuatu kaum itu gagal menjaga bumi ini dengan baik, maka Allah akan menggantikannya dengan kaum yang lain yang lebih baik.

Kembali kepada isu Pulau Pinang itu tadi, jika intipati-intipati ucapan presiden Pas ini dijadikan panduan dan dilaksanakan, saya percaya bahawa isu yang sedang melanda negeri Pulau Pinang ketika ini akan dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Tetapi yang jelasnya di sini Umno dengan perjuangan Melayunya, Gerakan pula dengan perjuangan kaum Cinanya, kedua-dua pihak ini cuba menyelesaikan permasalahan dengan ego kaum masing-masing. Maka isu ini tidak akan dapat diselesaikan sampai-sampai bila melainkan ianya diselesaikan dengan cara islam yang terbukti adil untuk semua agama dan kaum. Di sini juga jelas bahawa Pas adalah sebuah parti yang dasarnya adalah islam yang adil untuk semua kaum dan agama. Maka seperti yang telah saya sentuh dalam penulisan yang terdahulu, untuk mengatasi masalah kemunduran melayu Pulau Pinang, caranya bukanlah dengan penggiliran ketua menteri, tetapi dengan memberi giliran kepada Pas untuk memerintah dengan cara islam.

posted by Lidah Penghunus @ 11:00 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter