Sedikit komentar tentang Belanjawan 07
Assalamualaikum.
Berkenaan belanjawan 2007 yang telah dibentangkan oleh perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, saya menyambut baiklah beberapa kelebihan yang akan diberikan oleh kerajaan khususnya yang melibatkan soal pendidikan dan pembangunan modal insan.
Cumanya melihatkan kepada kenaikan harga minyak serta kenaikan tarif elekterik yang mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan seterusnya melonjakkan indeks harga pengguna atau kadar inflasi sebanyak 3.9 peratus, belanjawan 07 dilihat belum lagi memberi keuntungan kepada rakyat keseluruhannya. Kerana pemberian bonus, pemansuhan yuran perperiksaan dan pengurangan cukai korporat hanya memberi manfaat kepada segolongan tertentu sahaja iaitu penjawat awam, kaum-kaum ibu bapa yang anak mereka sedang mengambil perperiksaan dan ahli-ahli korporat. Sedangkan kenaikan harga barangan keperluan umum dan kadar inflasi memberi kesan yang buruk kepada keseluruhan rakyat terutamanya pekerja sektor swasta namun tiada pun cadangan untuk menetapkan gaji minimum seperti yang dituntut oelh MTUC serta penurunan cukai pendapatan individu bagi mengurangkan bebanan golongan-golongan ini.
Satu lagi yang ingin saya sentuh tentang belanjawan 07 ini, seperti juga harapan pada RM9, diharapkan apabila diluluskan kelak, ianya dapat dilaksanakan secara telus dan sampai terus ke golongan sasaran serta tidak tergendala oleh tangan-tangan yang korup. Kerana kita akui bahawa banyak perancangan dan agenda kerajaan ini bermanfaat untuk rakyat walaupun tidak semua. Tetapi oleh kerana kerakusan dan ketamakan golongan-golongan tertentu dalam kerajaan sendiri, maka perlaksanaannya terbantut yang akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat.
Di sini juga saya tertarik dengan ulasan timbalan perdana menteri, Dato' Seri Najib berkenaan belanjawan pada kali ini yang diumpamakannya sebagai 'bajet kemerdekaan' (dengan izin)
"Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Bajet 2007 sebagai ‘bajet kemerdekaan’, yang pasti disambut meriah oleh semua lapisan rakyat. Timbalan Perdana Menteri percaya bajet itu disambut oleh semua lapisan rakyat seperti kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan yang baru berlalu" Utusan Malaysia - 2 September 2006.
Sepatutnya jika benar-benar belanjawan kemerdekaan, maka ianya haruslah benar-benar merdeka lebih-lebih lagi mengikut kaca mata islam, namun apa yang kita lihat di sini ekonomi kita masih lagi belum bebas daripada unsur-unsur haram dan syubhah lebih-lebih lagi apabila melibatkan arak dan perjudian. Ianya samalah juga dengan soal kedaulatan bahasa melayu. Di sini saya tidak menolak cadangan agar bahasa Mandarin dan Tamil dijadikan subjek penuh di beberapa buah sekolah kebangsaan. Namun begitu apa yang saya kesalkan hak bahasa Melayu untuk menjadi bahasa pengantar dalam subjek sains dan matematik masih lagi belum dikembalikan.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home