Tuesday, September 05, 2006

Kalau dah duit tabung bantuan bencana pun diselewengkan...

Assalamualaikum.

Ketika kempen mengutip derma bagi membantu mangsa bencana Tsunami giat dijalankan dua tahun yang lepas, terdetik di hati kita tentang kerisauan bahawa sejumlah besar wang yang dikutip daripada orang ramai itu tidak akan sampai ke golongan sasaran. Namun begitu ianya dinafikan oleh kerajaan yang menyatakan bahawa dana tersebut akan diagihkan secara adil dan telus kepada mangsa Tsunami.

Akhirnya apa yang dirisaukan benar-benar terjadi apabila akhbar hari ini memaparkan laporan ketua audit negara bahawa terdapat penyalahgunaan tabung bantuan bencana kebangsaan untuk mangsa tsunami yang membabitkan kerja baik pulih dan pembelian peralatan menangkap ikan seperti jaring, enjin bot dan bot. Apa yang kita terkilan apabila membaca ulasan menteri di jabatan perdana menteri, Dato' Seri Nazri Aziz;

“Saya terkejut laporan tabung berkenaan dan hanya mengetahui mengenai penyalahgunaan itu menerusi laporan Ketua Audit Negara” Berita Harian - 5 September 2006.

Nampaknya Nazri samalah juga dengan perdana menteri dan juga menteri-menteri lain, apabila diberitahu tentang sesuatu insiden yang tidak diingini, mereka akan mengatakan tidak tahu -menahu. Sama ada memang mereka tidak pernah ambul tahu atau mereka buat-buat tidak tahu. Itulah dia pemimpin yang menjunjung slogan cemerlang, gemilang, terbilang.

Bayangkanlah, ianya adalah duit sumbangan atau derma daripada orang ramai, yang berbentuk amalan kebajikan, bertujuan untuk membantu mangsa-mangsa bencana taufan Tsunami pada penghujung 2004 yang lalu yang hingga kini masih terasa lagi akan kepedihan mereka ini daripada pengalaman tersebut. Itu pun menjadi mangsa ketamakan dan kerakusan golongan yang tidak mengenal erti dosa dan pahala dalam mencari kesenangan duniawi.

Jika dalam soal kebajikan itu juga boleh terjadinya penyelewengan, bagaimana harus untuk kita percaya bahawa peruntukan RMk9 dan Belanjawan 07 yang telah dan akan dilaksanakan kelak akan dapat agih-agihkan secara adil dan telus serta terus ke golongan sasaran tanpa diselewengkan oleh golongan-golongan yang sudah gelap mata dan hatinya ini.

posted by Lidah Penghunus @ 10:17 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter