Sunday, September 03, 2006

Kisah fobia dalam Barisan Nasional.

Assalamualaikum.

Tidak disangka-sangka tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga timbalan presiden Gerakan bersama-sama Hishammuddin mengangkat keris tanda perasmian majlis Perhimpunan Patriotik Pemimpin Murid Sekolah 2006 di Pulau Pinang bulan lepas telah menyentuh sensitiviti dan perasaan segelintir kaum cina di negara ini yang menganggap Dr Koh telah mencemarkan darah kecinaan beliau dengan memegang atau menjunjung alat kebesaran Melayu iaitu keris. Kiranya segelintir kaum cina ini menganggap bahawa mengangkat keris bermaksud masuk melayu. Sekurang-kurangnya di sini menunjukkan bahawa kaum cina di negara ini masih lagi mempunyai sensitiviti terhadap budaya kaum mereka berbanding dengan segelintir orang melayu beragama islam yang tidak segan silu memakai lambang-lambang perayaan agama lain misalnya memakai topi santa claus pada hari krismas atau nama kongsi raya.

Sebenarnya tidak ada apa yang hendak dihairankan dengan isu ini kerana dalam Umno juga sikap fobia terhadap sesuatu yang bukan lambang mereka juga jelas menebal dalam diri mereka. Misalnya ketika waktu Dr M menjadi PM dahulu, sejumlah besar wang dibelanjakan untuk menukar lambang pengeluar minyak negara, Petronas yang didakwa menyerupai lambang parti pembangkang iaitu Pas. Selain daripada itu, pemakaian kopiah juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa sikap fobia mereka kerana kebetulan kebanyakan ahli serta pemimpin Pas memakai kopiah putih maka mereka menganggap kopiah adalah imej pembangkang. Akibatnya beberapa institusi pendidikan telah melarang pelajar mereka memakai kopiah putih dan hanya benarkan mereka memakai songkok hitam. Begitu juga dengan beberapa stesyen televisyen swasta yang hanya membenarkan penceramah agama memakai songkok hitam untuk keudara. Hinggakan saya berasa janggal apabila melihat seorang ustaz ini yang di luar biasa berserban, tetapi bila masuk TV kena pakai songkok.

Sebut pula tentang warna hijau, baru-baru ini surau di tempat saya mendapat peruntukkan daripada pejabat daerah untuk kerja-kerja pembaik pulih, salahsatunya ialah kerja-kerja mengecat. Namun begitu JKKK di tempat saya mengarahkan kepada kontraktor agar menukarkan warna bumbung surau berkenaan yang selama ini berwarna hijau hinggakan surau tersebut mendapat jolokan surau hijau ke warna biru. Tapi tidak kisahlah warna apa sekalipun, wahima dia hendak warnakan pokok-pokok hiasan di sekeliling surau itu dengan warna biru sekalipun. Yang penting kami dapat teruskan imarahkan surau tersebut dengan majlis-majlis ilmu yang sebenar-benar majlis ilmu. Warna tidak penting bagi kami, yang penting ialah pengisiannya. Ini samalah dengan keterbukaan pimpinan Pas sendiri. Al Marhum bekas presiden Pas, dato' Fadhil Noor sering kelihatan memakai songkok hitam dan ini tidak pun dijadikan isu oleh ahli-ahli Pas. Kerana yang penting bagi mereka, pakaian tersebut tidak melambangkan agama lain yang boleh menjejaskan akidah. Sedangkan pada hari ini pemimpin kerajaan atas nama perpaduan dan integrasi kaum, melalui apa yang dinamakan kongsi raya, tidak kisah pun dengan segelintir orang melayu islam yang memakai pakaian yang melambangkan penganut agama lain.

posted by Lidah Penghunus @ 5:15 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter