Sunday, September 10, 2006

Bila keris menjadi senjata makan tuan bagi Umno.

Assalamulaikum

Minggu dahulu tindakan ketua menteri Pulau Pinang yang juga timbalan presiden Parti Gerakan mengangkat keris bersama-sama ketua pemuda Umno telah menjadi isu kepada segelintir kaum cina di negara ini. Akhbar hari ini pula menteri besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob mencadangkan agar lambang keris pada bendera Umno digantikan dengan lambang yang lain yang lebih sesuai. Alasan Dato' Seri Adnan kerana keris membawa maksud pergaduhan dan beliau menganggap keris yang tidak bersarung itulah menjadi antara punca kepada perbalahan antara ahli-ahli Umno saban tahun.

"Antara perselisihan besar yang dimaksudkan beliau ialah semasa bekas Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Onn Jaafar keluar UMNO, Biro Agama UMNO menyertai Pas, guru-guru Melayu mengugut meninggalkan UMNO pada 1959 dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dibuang daripada UMNO kerana mengkritik Tunku Abdul Rahman.Lain-lain peristiwa besar, kata Adnan, ialah isu orde baru dan orde lama zaman pemerintahan Allahyarham Tun Razak, UMNO diisytiharkan tidak sah pada 1987, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 1997 dan terbaru perselisihan antara Dr. Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi." Utusan Malaysia - 10 September 2006.

Kesian Adnan Yaakob dan ahli-ahli Umno. Masih tercari-cari apakah punca perbalahan di dalam Umno, masih teraba-raba apakah formula untuk menghindari perpecahan serta perbalahan yang melanda Umno saban tahun. Sedangkan sudah jelas dan telah banyak kali diberitahu bahawa punca kepada segala permasalahan dalam Umno ini adalah kerana mereka tinggalkan islam. Tukarlah lambang apa sekalipun, hatta lambang hati sekalipun pada bendera Umno, jika parti itu masih lagi mengetepikan islam sebagai dasar perjuangan, maka jangan mimpilah untuk mereka mencapai matlamat perbalahan sifar seperti yang diimpikan oleh timbalan presiden Umno sendiri.

Jika Dato' Seri Adnan kata keris yang digunakan sebagai senjata itu menjadi sebab kepada perbalahan dalam Umno, gerakan Hizbullah di Lubnan pada bendera mereka terpampang jelas lambang senjata raifal automatik yang kita maklum begitu sinonim dengan aksi pertempuran dan perperangan. Tetapi selama ini tidak pernah pun berlaku bibit-bibit perpecahan serta perbalahan dalam gerakan islam tersebut. Malahan gerakan islam ini bukan sahaja berjaya menyatukan kumpulan-kumpulan sunnah dan syiah di Lubanan malahan berjaya menarik masyarakat kristian Lubnan bersama-sama dengan mereka dalam menghadapi keganasan rejim Zionis.

Bukan kerana mereka berpegang kepada semangat kebangsaan Lubnan yang kuat, tetapi kerana mereka berpegang teguh kepada islam yang menjadi dasar gerakan mereka. Maka dengan pegangan yang teguh di samping disiplin yang kuat inilah menjadi faktor kejayaan Hizbullah menghalang kemaraan tentera Zionis yang seterusnya mewujudkan kepercayaan masyarakat serta kerajaan Lubnan terhadap kemampuan mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 3:12 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter