Bush pun sama macam Pak Lah - Tidak tahu-menahu.
Assalamualaikum.
Akhbar hari ini Presiden Pakistan, General Pervez Musharaf mendedahkan bahawa negara pimpinan beliau pernah diugut akan dibom sehingga menjadi seperti zaman batu oleh Amerika Syarikat jika negaranya enggan berkerjasama dalam usaha kononnya untuk memerangi keganasan.
"Musharraf berkata, ancaman tersebut disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Negara, Richard Armitage kepada Pengarah Perisikan Pakistan.
“Pengarah Perisikan memberitahu saya bahawa (Armitage) berkata: Bersedia untuk dibom. Bersedia kembali ke Zaman Batu,’’ kata Musharraf dalam rancangan 60 Minutes terbitan CBS yang akan disiarkan Ahad ini" Utusan Malaysia - 23 September 2006.
Di sini sudah jelas kita lihat betapa terdesaknya Amerika Syarikat sehingga sanggup menggunakan cara kotor melalui ugutan kepada sesebuah negara yang kononnya bersekongkol dengan keganasan bagi mencapai cita-cita jahat mereka. Di sini juga dapat kita saksikan bagaimana bezanya Pervez Musharaf pemimpin sekular yang menyanjungi Mustafa Kamal Ataturk dengan pemimpin-pemimpin yang berpegang teguh dengan islam. Ketika ini kita sudah menyaksikan keberanian Presiden Iran, Mahmud Ahmadinejad yang tidak akan tunduk kepada Amerika Syarikat walaupun diancam dengan senjata sekalipun.
Kita juga telah menyaksikan ketegasan pemimpin Hamas yang menerajui kerajaan Palestin yang tidak akan tunduk kepada Amerika Syarikat dan tidak akan mengiktiraf negara haram Israel meskipun telah diperlakukan dengan pelbagai kezaliman. Namun Presiden Pakistan yang telah banyak menindas gerakan islam di negara itu terus tunduk dan takut dengan hanya ugutan daripada seorang timbalan setiausaha negara dan ugutannya pula dilihat tidak munasabah iaitu mahu mengebom sesebuah negara hingga jadi seperti zaman batu. Dan sekarang kerajaan Pakistan adalah antara negara yang mengikut telunjuk Amerika yang merestui serangan serta pendudukan tentera Amerika di bumi Afghanistan dan menindas gerakan-gerakan islam serta menutup sekolah-sekolah agama yang dianggap Amerika sebagai pusat latihan pengganas.
Berita tengah hari tadi pula menyiarkan ulasan presiden Amerika, Bush yang menyatakan bahawa beliau berasa terkejut dan tidak tahu-menahu tentang ugutan yang dibuat oleh timbalan setiausaha negaranya itu. Di sini adalah satu yang pelik apabila seorang presiden yang selama ini kita lihat bukan setakat perihal negaranya sahaja, malahan perihal negara-negara lain pun beliau ingin ambil tahu, tetapi dalam hal ini boleh pula beliau tidak tahu akan tindakan timbalan setiausaha negaranya sendiri. Nampaknya kelemahan Bush ini samalah sahaja dengan Perdana Menteri kita, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang baru sahaja beliau temui minggu lalu yang tidak tahu-menahu dan selalu terkejut dengan sesuatu insiden yang berlaku dalam negara terutama yang melibatkan pentadbiran beliau.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home