Friday, September 22, 2006

Menanti perubahan kepimpinan Inter-Partisan

Assalamualaikum.

Melihatkan kepincangan dan kecurangan yang berlaku dalam pemerintahan Umno dan Barisan Nasional selama ini. Maka wujudnya parti-parti pembangkang itu tujuannya bukan setakat menjadi penyemak dan pengimbang kepada parti memerintah lebih daripada itu menawarkan diri sebagai alternatif kepada pemerintah yang ada. Dalam erti kata yang lain oleh kerana segala kritikan serta teguran oleh pembangkang tidak dapat membawa kepada perubahan yang besar yang lebih baik maka usaha daripada pihak pembangkang ialah agar tercapainya matlamat perubahan kepimpinan negara secara inter-partisan.

Walau bagaimanapun apabila berlakunya perubahan Intra-Partisan iaitu peralihan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2002, secebis harapan tetap diletakkan agar kepimpinan Pak Lah boleh membawa perubahan ke arah yang lebih baik. Lebih-lebih lagi melihatkan bahawa Dato' Seri Abdullah adalah seorang cucu kepada ulama' yang dikenali di negara ini tambahan pula beliau juga adalah lulusan dalam bidang Pengajian Islam. Memang kita tidak nafikan ada beberapa perubahan yang telah beliau lakukan terutama sekali dengan pembebasan Dato' Seri Anwar Inbrahim yang selama ini terpenjara angkara Tun Dr Mahathir.

Namun begitu dari tahun ke tahun kita melihat keadaan pentadbiran Dato' Seri Abdullah semakin pincang, banyak insiden-insiden yang tidak diiingini berlaku dalam negara kita yang menggambarkan betapa lemahnya Pak Lah sebagai perdana menteri. Hinggakan bekas perdana menteri sendiri, Tun Dr Mahathir turut sama mengkritik kelemahan serta kepincangan dalam pentadbiran Pak Lah. Baru-baru ini juga presiden Pas, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengatakan bahawa Pak Lah gagal menyambung usaha-usaha baik Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya terus menyambung segala tindakan negatifnya menghalang hak rakyat untuk bersuara. Kata-kata tuan guru presiden itu memang benar kerana sudah jelas bahawa Pak Lah hanya mewarisi kezaliman Tun tanpa mahu mewarisi pandangan jauh Tun Dr Mahathir dalam memajukan negara.

Jika dalam pentadbiran negara pun Pak Lah telah dilihat lemah apatah lagi sebagai pemimpin bagi pertubuhan Islam di peringkat antarabangsa, ianya jelas apabila pada masa umat islam termasuk NGO serta parti pembangkang di negara ini menolak permohonan maaf sambil lewa Pope Benedict yang dilihat tidak ikhlas, Pak Lah yang ketika berada di negara bawah pentadbiran Bush boleh senada dengan presiden Amerika Syarikat itu apabila menerima kekesalan Pope yang dilihat tidak bersungguh-sungguh itu. Jadi bila melihatkan pentadbiran Pak Lah yang semakin tidak terkawal ini, maka tidak ada apa lagi untuk diharapkan oleh pemimpin yang telah 'dirampas' kuasanya oleh anak, menantu, kroni, taukeh judi dan taukeh pusat hiburan serta maksiat ini.

Oleh kerana itu cara yang terbaik adalah melalui perubahan kepimpinan Inter-Partisan iaitu perubahan kepimpinan antara parti politik agar wujud sebuah Malaysia yang adil berdasarkan Islam yang syumul.

posted by Lidah Penghunus @ 4:45 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter