Pemerintahan Thailand telah dicontrol oleh tentera
Assalamualaikum.
Hari ini kita telah menerima berita yang agak mengejutkan apabila semalam kerajaan Thailand pimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra telah dirampas oleh tentera Thailand yang diketuai oleh Panglima Tentera Thai Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang menjadikan Thailand sekarang di bawah pemerintahan tentera.
Meneliti tentang kronologi rampasan kuasa tentera ini kita dapat lihat bahawa rampasan kuasa oleh tentera ini memang begitu rapi dan teliti. Ianya melihatkan kepada masa rampasan itu dibuat ketika perdana menteri sendiri tiada dalam negara atas urusan kerja, kereta-kereta kebal tentera diletakkan di tempat-tempat strategik terutamanya istana presiden, anggota-anggota tentera di kuarantin di berek-berek tentera sebagai menghalang tindakan balas daripada penyokong Thaksin di kalangan tentera sendiri dan semua stesyen komunikasi seperti telefon, stesyen televisyen diambil alih dan diputuskan daripada dunia luar yang kita lihat berjaya mematahkan tindakan pantas Thaksin untuk mengisytiharkan darurat. Di sini kita dapat agak bahawa rampasan kuasa ini telah lama dirancang.
Menelusuri pula perkembangan tentang rampasan kuasa tentera ini, berita tengah hari tadi menyiarkan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga sedang berada di Amerika Syarikat yang menyatakan rasa terkejutnya tentang rampasan berkenaan. Seterus dalam kenyataannya Pak Lah mengatakan bahawa rampasan kuasa melalui tentera ini bukanlah cara yang baik dalam melakukan perubahan dalam kepemimpinan dan kata beliau lagi cara yang terbaik untuk melakukan perubahan ialah melalui pilihanraya. Bagi saya Pak Lah sebagai perdana menteri Malaysia tidak perlu masuk campur dalam urusan tentera di negara tersebut kerana golongan tentera di Thailand bertindak sedemikian tujuannya adalah untuk mengembalikan demokrasi serta pilihanraya yang adil kepada rakyat Thailand. Memang mereka telah pun merampas kuasa kerajaan, tetapi ianya untuk dikembalikan kepada rakyat bila tiba pilihanraya nanti. Tambahan lagi walaupun golongan tentera ini telah merampas kuasa daripada kerajaan yang memerintah, namun mereka masih lagi taat dan setia kepada raja mereka iaitu Raja Bumiphol Adulyadej.
Jadi tidak perlu untuk Pak Lah risau tentang perkara ini. Yang perlu Pak Lah ambil perhatian daripada insiden ini ialah ianya adalah satu peringatan untuk pemimpin-pemimpin negara yang mengamalkan demokrasi dan pilihanraya seperti Pak Lah bahawa itulah akibatnya jika demokrasi itu tidak dilaksanakan secara sempurna. Memang kita tidak nafikan bahawa sistem pilihanraya masih berjalan di negara kita. Tetapi adakah ianya berjalan secara sempurna? Adakah pilihanraya kita adil untuk pihak pembangkang? Sedangkan setiap kali pilihanraya media akan terus dikawal oleh Barisan Nasional, pembangkang diserang secara terus-menerus daripada media arus perdana tanpa diberi peluang untuk menjawab, segala kekuatan kerajaan pusat terus dipergunakan untuk menghadapi parti pembangkang dan taktik kotor pengundi hantu, rasuah terus menjadi amalan dalam matlamat mencapai kemenangan. Namun walaupun dihidangkan dengan demokrasi yang sebegini teruk, pembangkang di negara ini tetap komited dengan cara pilihanraya kerana kita yakin bahawa masih ada lagi ruang untuk kita mencapai kemenangan dan perkara ini tidak seharusnyalah dijadikan kesempatan oleh pihak kerajaan untuk terus menyempitkan ruang demokrasi itu sendiri kerana kesabaran seseorang itu juga ada hadnya.
Kembali kepada isu di Thailand itu tadi, dengan terjadinya rampasan kuasa oleh tentera ini berkemungkinan untuk melihat demokrasi di negara Siam itu dipulihkan adalah agak cerah, namun begitu bagi kita umat islam di negara ini apa yang lebih kita harapkan ialah akan ada satu sinar baru untuk saudara-saudara kita di Selatan Thailand sana yang selama ini ditindas dan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan oleh kerana pergolakan yang berlaku. Ini memandangkan bahawa Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang mengetuai rampasan tersebut adalah seorang muslim dan orang islam pertama yang memegang pemerintahan tertinggi tentera di negara yang majoritinya adalah penganut Buddha.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home