Tuesday, September 12, 2006

Meniti hari-hari yang makin parah dalam Umno

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini memaparkan tajuk 'Dr M terima keputusan' merujuk kepada kegagalan beliau untuk menjadi perwakilan bahagian dalam perhimpunan agung Umno akan datang. Namun kandungan isi berita berkenaan memaparkan pendedahan Tun Dr M tentang usaha-usaha kotor yang telah dibuat oleh pihak tertentu yang menjadi punca kekalahan beliau dalam pemilihan tersebut.

"Ini cuma pemilihan kecil, tetapi kerajaan Pusat dan negeri menggerakkan jentera seolah-olah ia pemilihan Presiden. Pegawai kerajaan dikerah, ada pegawai dari kerajaan Pusat memberi amaran kepada anak buahnya (kakitangan) supaya jangan berkempen."Ada guru diugut akan dipindah ke Sabah. Semua ini bagi menentukan saya tak dipilih. Yang betul-betul berkesan ialah penggunaan wang untuk beli undi," katanya dalam ucapan selama 50 minit di hadapan kira-kira 50 penyokong di Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.Sambil menunjukkan slip senarai pilihan calon yang didakwa diedarkan kepada perwakilan bahagian itu, Dr Mahathir mendakwa RM200 juga dimasukkan dalam sampul surat bersama slip itu" Berita Harian - 12 September 2006.

Jika penulisan sebelum ini mesyuarat agung bahagian Kubang Pasu yang menjadi perhatian pelbagai pihak sabtu lalu disifatkan umpama pilihanraya kecil Parlimen Kubang Pasu, rupa-rupanya ianya juga membawa sekali pakej yang sering kali Umno dan Barisan Nasional amalkan setiap kali pilihanraya kecil iaitu menggunakan sepenuhnya pelbagai jentera kerajaan dan kekuatan peringkat pusat dan tidak ketinggalan rasuah atau politik wang. Apa yang menariknya di sini ianya bukan kerana berhadapan dengan pembangkang, tetapi dengan ahli mereka sendiri, iaitu bekas presiden yang juga bekas perdana menteri yang bertanding untuk mendapatkan kerusi perwakilan bahagian ke perhimpunan agung Umno.

Memang benarlah bahawa mesyuarat agung Umno Bahagian Kubang Pasu pada tahun ini membawa satu nilai sejarah yang terdiri bukan sahaja dalam catatan sejarah Umno itu sendiri, malahan sejarah politik negara. Di sini juga kita telah lihat bagaimana perkara yang menjadi amalan Tun ketika dahulu dalam menghadapi kemarahan pembangkang yang hanya di peringkat pilihanraya kecil Parlimen atau Dun kini terkena sendiri kepada beliau.

Sementara itu kita terus menyaksikan hari-hari Umno yang makin parah apabila baru sahaja keresahan mereka tentang hasrat Tun untuk jadi perwakilan reda, Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula berhasrat untuk mencabar Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussain untuk jawatan ketua pemuda Umno. Namun sehari selepas pengumuman Datuk Zahidi itu dalam akhbar, akhbar hari ini tidak semena-mena beliau akan dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis kerana didakwa gagal memberi komitmen kepada Umno negeri.

"Bekas Exco kerajaan negeri itu juga didakwa melanggar peraturan parti kerana merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian itu kelmarin yang sepatutnya hanya boleh dilakukan Ahli Majlis Tertinggi (MT) atau menteri daripada Umno.Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim, juga mendakwa, Zahidi sering kali gagal menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri sehingga menyebabkan beliau bertindak bertentangan dengan keputusan mesyuarat" Berita Harian - 12 September 2006.

Begitulah dia Umno sebuah parti yang dasarnya membelakangkan islam terus dilanda permasalahan dari hari ke hari. Pemimpin-pemimpinnya pula kelihatan semakin buntu dalam mencari titik penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi.Bermacam-macam kaedah yang dicadangkan, dari cadangan penukaran lambang keris hinggalah ke cadangan jawatan PM dan MB seumur hidup. Namun begitu mereka masih lagi tidak nampak bahawa islam adalah penyelesaian.

posted by Lidah Penghunus @ 5:03 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter