Ratusan wajah - Tahanan tanpa bicara
Assalamualaikum.
Semalam semasa bertugas untuk program makan malam serta pelancaran Dana Kami Prihatin anjuran Lajnah Kebajikan Pas Pusat, saya berpeluang untuk melihat sendiri wajah-wajah sayu anak tahanan ISA, mendengar sendiri rintihan anak-anak tahanan ISA yang zalim ini melalui aturcara yang disediakan pada malam itu. Selalunya saya berpeluang ikuti kisah-kisah keluarga mangsa ISA ini melalui lembaran akhbar, tetapi berlainan sekali bila dapat menyaksikan secara langsung semalam, sayu rasanya melihatkan mereka ini kanak-kanak yang bapanya dituduh sebagai pengganas namun hingga sekarang tidak lagi dibicarakan di mahkamah.
Bayangkanlah anak-anak ini, ada antaranya yang masih kecil lagi sudah terpisah daripada bapa mereka hampir lima tahun lamanya. Lima tahun lamanya tanpa kasih sayang bapa, boleh dikatakan sudah lima kali idulfitri tanpa bersama-sama bapa. Bayangkanlah betapa zalimnya ISA ini. Jika bapa mereka dibicarakan serta dijatuhkan hukuman maka sudah tentulah mereka akan dapat tahu bila tarikh bapa mereka akan dibebaskan. Tetapi ISA ini, 'ikut suka aku' bila aku nak bebaskan. Mungkin 6 bulan, mungkin 6 tahun atau pun mungkin seumur hidup bergantung kepada nafsu serakah si penzalim.
Beberapa hari lalu juga kita telah mendengar berita yang agak mengejutkan, iaitu penahanan dua warga Malaysia oleh kerajaan Amerika Syarikat kerana disyakki terlibat dengan aktiviti keganasan. Reaksi daripada berita tersebut, perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta agar tahanan berkenaan diberikan keadilan oleh kerajaan Amerika. Dua orang tahanan tersebut sekarang berada dalam tangan kerajaan Amerika dan Pak Lah sebagai perdana menteri hanya mampu meminta budi bicara kerajaan Amerika agar memastikan dua tahanan tersebut mendapat keadilan yang secukupnya.
Namun begitu puluhan tahanan ISA itu tadi berada dalam tangan Pak Lah sebagai perdana menteri Malaysia dan juga menteri keselamatan dalam negeri. Maka dengan kuasa yang ada maka sepatutnyalah Pak Lah membebaskan mereka yang jelas teraniaya ini atau sekurang-kurangnya buktikan kesalahan mereka itu melalui mahkamah. Jangan biarkan anak-anak dan isteri mereka yang kian lama menderita ini terus-terusan menderita oleh kerana kezaliman yang berterusan daripada kerajaan.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home