Thursday, September 14, 2006

IPCMC zalimi polis, bagaimana pula tindakan polis zalimi tahanan?

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini, Tan Sri Musa Hassan yang baru sahaja diamanahkan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) atas alasan ianya menzalimi Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebelum ini kita telah mendengar janji Tan Sri Musa sebaik sahaja dilantik sebagai KPN untuk memulihkan imej PDRM yang kebelakangan ini sering terbabit dengan insiden-insiden yang memalukan.

Sepatutnya jika itu hasrat KPN yang baru ini beliau seharusnya menerima penubuhan IPCMC ini yang tujuannya juga adalah untuk memulihkan kembali imej PDRM itu sendiri melalui pemantau-pemantauan yang akan dijalankan. Seperti komen seorang sahabat tentang isu ini, jika penjawat awam yang lain dipantau, badan-badan profesional yang lain dipantau, malahan ustaz-ustaz serta pendakwah juga dipantau, adakah polis lebih suci daripada mereka ini sehingga tidak boleh dipantau tentang salahlaku mereka ini?

Jika Tan Sri Musa kata IPCMC adalah zalim, bagaimana pula beberapa insiden-insiden kezaliman serta kekejaman yang berlaku keatas tahanan lokap balai polis serta kekasaran polis dalam menangani siri-siri demonstrasi selama ini? Malahan dalam masa KPN menolak IPCMC akhbar yang sama juga melaporkan satu lagi kes tahanan lokap balai polis telah meninggal dunia;

“ Seorang wanita yang ditahan reman bagi membantu siasatan penemuan dadah, meninggal dunia ketika berada dalam lokap di Balai Polis Wangsa Maju di sini, tengah malam semalam.
Samiyaty Intrayani Zulkainam, 45, dikatakan meninggal dunia empat jam sebelum sepasukan pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan majistret memeriksa mayatnya jam 3 pagi.Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Mohd Rodzi Ismail, berkata doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia ketika ditemui anggota polis yang bertugas kira-kira jam 11.30 malam"

"Saya tidak menyalahkan polis yang menahan Samiyaty Intrayani kerana kesalahan dilakukan. Bagaimanapun, kami sekeluarga ingin tahu sebab kakak meninggal dunia,” katanya yang mendakwa melihat empat kesan lebam pada mayat kakaknya" Berita Harian - 14 September 2006.

Di sini kita tidaklah bermaksud bahawa semua anggota polis itu zalim dan kejam dan tidak juga bermaksud untuk membela penjenayah-penjenayah yang telah jelas kesalahan mereka. Tetapi kita mahu memastikan bahawa institusi kepolisan di negara ini benar-benar menjalankan tugas mereka untuk keselamatan rakyat, bebas daripada pengaruh ahli-ahli politik yang berkepentingan dan seterusnya memastikan jabatan polis ini dihormati hingga ke peringkat antarabangsa

posted by Lidah Penghunus @ 5:32 PM   1 comments

1 Comments:

At 6:46 PM, Blogger Pepih Nugraha said...

Assalamualaikum... Saya berusaha untuk memahami bahasa Malaysia. Untuk itulah saya membaca blog Anda. Insya Allah akan sering berkunjung mencermati perkembangan di Malaysia...

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter