Monday, September 18, 2006

Terkawal atau dikawal?

Assalamualaikum.

Hari ini saya tertarik dengan kenyataan perdana menteri dalam sebuah akhbar yang menyatakan bahawa beliau masih tidak hilang kawalan yang membawa maksud perjalanan pemerintahan beliau yang beliau dakwa masih lagi dalam kawalan. Persoalannya adakah kita boleh menerima kenyataan Pak Lah ini sedangkan ketika beliau sebagai perdana menteri pelbagai insiden yang tidak diingini terjadi mahupun di dalam Umno atau pun dalam pentadbiran kerajaan. Banyak yang boleh kita sebutkan di sini antaranya perbalahan beliau dengan bekas perdana menteri serta perbalahan antara parti komponen Barisan Nasional yang hingga ke hari ini masih lagi tidak tahu apa kesudahannya. Dalam pentadbiran kerajaan pula berlaku pula pertikaian dan tuduh-menuduh antara menteri kabinet yang pada akhbar hari ini juga masih lagi memperkatakan tentangnya.

Selain daripada itu di era Pak Lah sebagai perdana menteri menyaksikan kenaikan harga petrol, kenaikan tarif elektrik serta masalah kekurangan bekalan gula di pasaran yang mengakibatkan kenaikan barangan keperluan yang tidak terkawal. Kita juga tidak lupa bahawa ketika era Pak Lah mempromosikan Islam Hadhari dalam pemerintahannyalah islam sewenang-wenangnya dicabar kumpulan-kumpulan yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi yang ianya termasuklah di kalangan orang islam sendiri dan disokong oleh beberapa menteri beragama islam sendiri dan jangan lupa anak perempuan Pak Lah juga terlepas daripada kawalan beliau apabila bersama-sama dengan kumpulan yang dikenali sebagai islam liberal ini. Di bawah kawalan Pak Lah juga ulama' serta mufti yang dihina, dipertikaikan pendapat mereka oleh menteri sendiri. Akibatnya pada zaman Pak Lah ini jugalah pengakuan keluar dari islam berani diiystiharkan secara terang-terangan serta dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan hak untuk murtad.

Itu belum sebut lagi budaya hedonisme, budaya berhibur secara melampau-lampau yang semakin pesat di zaman Pak Lah. Jenayah serta keruntuhan akhlak juga tidak kurang hebatnya pada zaman Pak Lah, kita boleh saksikannya di dada akhbar setiap hari. Tentang rasuah dan penyelewengan pula tidak perlu cerita lagilah, dalam pentadbiran kerajaan semua peringkat hingga ke menterinya, dalam Umnonya pula daripada cawangan hingga ke pemimpin kanan, daripada pemilihan peringkat pusat hinggalah ke pemilihan untuk memilih perwakilan bahagian, semuanya ditaburi dengan wang ringgit. Dan banyak lagi sebenarnya kepincangan-kepincangan yang boleh kita sebutkan di sini yang berkaitan dengan pemerintahan Pak Lah. Mengulas tentang perenggan di bawah ini;

"Perdana Menteri menjelaskan perkara itu dengan panjang lebar berkata, pembaharuan dan kejayaan tidak boleh dicapai segera, sebaliknya ia memerlukan pendekatan khusus dan mengambil masa.“Saya lebih suka... kita lambat sikit tidak apalah asalkan kita halusi segala yang berhubung kait dengan sesuatu isu hendak dikupas itu" Berita Harian - 18 September 2006.

Ianya samalah jawapan kerajaan dalam soal melaksanakan undang-undang islam yang hingga kini kita masih tidak nampak lagi kesungguhan kerajaan. Dalam hal ini pula apa yang kita lihat daripada sejak Pak Lah mengambil alih amanah sebagai perdana menteri hinggalah ke hari ini keadaan dilihat semakin teruk, hinggakan bekas perdana menteri sendiri pun terpanggil untuk mengkritik kepemimpinan beliau. Jadi persoalannya di sini, adakah benar pemerintahan negara masih dalam kawalan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi? Ataupun Pak Lah sebenarnya yang telah dikawal oleh anak, menantu, kroni dan sebagainya.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter