Thursday, September 21, 2006

Kembalikan idealisme mahasiswa.

Assalamualaikum.

Hari ini mahasiswa di kampus seluruh negara turun mengundi bagi memilih wakil-wakil mereka dalam Majlis Perwakilan Pelajar. Bila disebut tentang pilihanraya kampus ini, apa yang menyedihkan ianya tidak seperti waktu-waktu dahulu, ketika saya mula menjejakkan kaki ke alam kampus dahulu yang mana pilihanraya kampus dahulu adalah sebenar-benar pilihanraya, terdapatnya parti-parti politik yang bertanding, parti-parti politik di kampus ini bebas untuk menentukan corak calon serta poster mereka, perang poster begitu hebat dan pelajar-pelajar juga bebas untuk memilih calon-calon pilihan mereka. Ketika itu mahasiswa lebih berminat untuk memilih calon-calon yang membawa islam sebagai wakil mereka.

Namun ketika saya berada di alam kampus juga dapat saya saksikan bahawa sedikit demi sedikit demokrasi kampus telah mula di rentap oleh pentadbiran universiti yang sedia untuk diperkudakan oleh kerajaan BN. Dan seperti yang telah kita saksikan tahun lepas telah menyaksikan tahun 'talqin' bagi demokrasi kampus apabila pelajar-pelajar yang mereka dakwa pro-pembangkang telah dinafikan hak untuk bertanding dan mahasiswa-mahasiswa yang sedia untuk diperkudakan oleh kerajaan mengambil tempat sebagai wakil pelajar di kebanyakan kampus di seluruh negara.

Akibatnya kita telah saksikan tiada lagi suara-suara kritikan terhadap kepincangan pemerintah oleh wakil-wakil rakyat di kalangan mahasiswa ini. Isu yang sering mereka suarakan hanyalah berlegar di sekitar mahasiswa dan kampus sahaja tanpa mahu menjangkau ke persoalan nasional lebih-lebih lagi yang menyentuh ketidak adilan yang berlaku. Jika menyentuh isu-isu global seperti perang di Lubnan pun ianya masih lagi terkongkong oleh pihak pentadbiran universiti, wakil-wakil pelajar ini hanya dibenarkan menganjurkan demonstrasi hanya di sekitar kampus sahaja.

Baru-baru ini ketika menjalankan satu urusan saya berpeluang meninjau suasana kempen pilihanraya kampus di UITM Shah Alam. Di sana dapat saya saksi suasana kempen yang begitu hambar sekali. Poster-poster yang tergantung di pagar-pagar kampus dilihat seolah-olah tiada bezanya dengan poster-poster iklan rumah sewa, kenderaan untuk dijual dan pelbagai lagi yang biasa terdapat di kampus-kampus. Corak dan warnanya semua sama sahaja. Jika itulah keadaannya, adakah ianya layak untuk disebut sebagai pilihanraya, kerana pilihan adalah sesuatu yang berkaitan dengan kepelbagaian serta perbezaan. Menyentuh tentang akhbar hari ini;

"Suasana itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai ‘peralihan’ kalangan pelajar IPTA ke arah kematangan serta bijak memilih pemimpin yang boleh memimpin dan memperjuangkan kebajikan mereka selaras dengan semangat dan aspirasi universiti." Utusan Malaysia - 21 September 2006.

Bagi saya ianya bukan petanda peralihan ke arah kematangan berfikir di kalangan pelajar tetapi adalah petanda bahawa pelajar-pelajar kita telah dikongkong pemikirannya. Kerana jika benarlah pentadbir universiti mahupun pihak kerajaan mengiktiraf kematangan berfikir mahasiswa, mereka seharusnya tidak risau dengan campurtangan daripada pihak luar khususnya parti-parti politik kerana mahasiswa sudah tentu tahu menilai mana yang baik mana yang buruk. Semalam kita telah menerima berita bagaimana telah berlaku satu rampasan kuasa oleh pihak tentera di Thailand bertujuan untuk mengembalikan demokrasi kepada rakyat. Perkara ini tidak mustahil akan berlaku di peringkat universiti jika demokrasi terus digelapkan oleh tangan-tangan yang korup. Kita sudah sedia maklum melalui sejarah bahawa kuasa mahasiswa atau pelajar mampu untuk menumbangkan sesebuah kerajaan serta melakukan perubahan dalam pemerintahan, jika di peringkat negara pun pelajar mampu melakukan perubahan, apatah lagi di peringkat universiti.

posted by Lidah Penghunus @ 5:17 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter