Wednesday, September 27, 2006

Gaji kakitangan rendah awam yang masih lagi rendah.

Assalamualaikum.

Pembentangan Belanjawan 07 sudah pun hampir sebulan berlalu, mengimbau kembali belanjawan berkenaan ianya dilihat lebih memberi faedah kepada pekerja-pekerja sektor awam apabila pelbagai kelebihan seperti bonus diberikan kepada mereka. Namun begitu rupa-rupanya ianya tidaklah baik seperti yang disangka apabila akhir-akhir ini di dada-dada terdapat rungutan daripada pekerja-pekerja am sendiri tentang tangga gaji yang mereka perolehi yang masih begitu rendah jika dibandingkan dengan kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang keperluan kesan daripada kenaikan harga petrol dan tarif elektrik.

Bayangkanlah pada masa rakyat dihimpit dengan pelbagai kenaikan harga barang keperluan harian serta beberapa kos hidup yang lain, pekerja am di sektor awam negara kita masih lagi diberikan gaji permulaan 485 sebulan. Sukar untuk gambarkan bagaimana untuk pekerja-pekerja kerajaan ini mahu terus hidup dengan pendapatan sebegini lebih-lebih lagi jika mereka sudah bekeluarga yang perlu menyara anak-anak, keperluan pendidikan mereka, keperluan tempat tinggal mereka, kesihatan dan pelbagai lagi perkara yang kita tahu segala-galanya mesti didahului dengan wang ringgit. Bukan sahaja mereka yang sudah berkahwin, hatta mereka yang masih bujang pun amat sukar untuk hidup dengan tangga gaji yang serendah ini. Sedangkan mereka yang gaji pokoknya sudah mencapai empat angka pun masih lagi kedengaran rungutan mereka akibat daripada kenaikan harga barangan keperluan, apatah lagi mereka yang gajinya masih lagi di paras empat ratus.

Dahulu saya sering mendengar daripada orang-orang tua serta ibu dan bapa kita bahawa kerja kerajaan ini beruntung kerana walaupun gajinya rendah tetapi faedahnya banyak, kelebihannya banyak. Lalu ramai di antara ibu dan bapa yang menggalakkan anaknya menyertai sektor kerajaan walaupun sebagai peon kata orang kampung. Memang tidak dinafikan bahawa bila kita kerja dengan kerajaan pelbagai elaun dan kemudahan akan kita ni'mati. Namun dalam keadaan kos hidup yang tidak kondusif ini adakah ianya masih lagi bermakna untuk pekerja-pekerja am rendah? Kemudahan yang mereka peroleh adalah sekali-sekala tetapi beban yang terpaksa mereka tanggung adalah setiap bulan.

Di sini juga kita tidak menolak kemungkinan bahawa peningkatan gejala rasuah serta pelbagai kes salah laku jenayah daripada peringkat akar umbi dalam sektor awal ini adalah kerana kesempitan hidup yang dihadapi akibat gaji yang rendah. Jika tidak melakukan kesalahan rasuah pun individu-individu ini terpaksa bekerja part time demi mencari pendapat sampingan yang mengakibatkan masa yang sepatutnya untuk keluarga terabai.

posted by Lidah Penghunus @ 10:39 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter