Thursday, September 28, 2006

KPDNHEP buntu kerana gula.

Assalamualaikum.

Kita selalu mendengar cerita tentang kerajaan Umno-Barisan Nasional yang kononnya mereka sahaja yang cekap dalam pemerintahan hinggakan menganggap bahawa pihak yang lain terutamanya pembangkang tidak mampu memerintah. Cerita pula tentang krisis kekurangan bekalan gula di pasaran, rasanya isu ini sudah lama berlarutan namun ianya masih lagi buntu untuk diselesaikan oleh pihak kerajaan. Setelah berbulan-bulan menghadapi tekanan kerana kekurangan gula, akhirnya semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengambil langkah mudah apabila memutuskan untuk mengimpot 80,000 tan metrik gula mentah dari Brazil.

Apa yang kita khuatir tentang keputusan kerajaan ini yang pertamanya ianya sudah pastilah akan menyebabkan peningkatan dalam aliran keluar matawang negara. Yang keduanya pula seperti yang dilaporkan akhbar hari ini bahawa terdapat percanggahan kenyataan daripada dua kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Pada masa KPDNHEP menyatakan kebimbangan tentang kekurangan bekalan gula, MITI pula melalui menterinya Dato' Seri Rafidah Aziz menyatakan bahawa bekalan gula sebenarnya masih mencukupi malahan lebih daripada mencukupi.

Tetapi begini pula jawapan menteri MITI, Datuk Seri Rafidah Aziz - yang bertanggungjawab dengan industri gula negara dan permit import bahan itu.
Katanya, negara sebenarnya tidak mengalami masalah ketiadaan gula. “Bekalan yang dikeluarkan lebih daripada mencukupi,’’ Rafidah memberi statistik mempertahankan alasannya itu dengan berkata: ‘‘Berbanding dengan penggunaan gula sebanyak 1 juta tan metrik oleh negara setiap tahun, para pengilang telah menghasilkan lebih daripada 979,000 tan metrik gula sehingga 15 September tahun ini. ‘‘Dalam masa tiga bulan akan datang, para pengilang dijangka mengeluarkan 291,000 tan metrik gula lagi dengan tambahan 200,000 tan metrik dihasilkan sebagai stok simpanan.’’ Utusan Malaysia - 28 September 2006


Jika benarlah seperti apa yang dikatakan oleh MITI itu, keputusan KPDNHEP untuk mengimpot 80,000 tan metrik gula dikhuatiri akan mengundang masalah yang baru pula iaitu krisis lambakan gula di pasaran yang akhirnya akan merugikan negara. Di sini juga kita hairan bagaimana dua kementerian yang sepatutnya bekerjasama dalam usaha mengatasi masalah krisis bekalan gula boleh 'terputus hubungan' Di sini juga kita nampak seolah-olah bahawa KPDNHEP telah tunduk dan menyerah kalah dengan strategi penyuruk bekalan gula apabila mengambil langkah mudah dengan mengimpot gula yang sebenarnya akan mendatangkan kerugian kepada negara. Adakah ini yang dinamakan kecekapan dalam pentadbiran?

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter