Friday, September 29, 2006

Pada masa genderang Pilihanraya Umum ke-12 hampir kedengaran, pahat Pilihanraya Umum 2004 masih lagi berbunyi.

Assalamualaikum.

Pilihanraya umum ke-11 iaitu pilihanraya umum terburuk dalam sejarah pembangkang termasuk demokrasi negara telah pun hampir tiga tahun berlalu. Boleh dikatakan segala duka nestapa kekalahan teruk dalam pilihanraya tersebut oleh pembangkang telah pun lama berakhir dan kini ahli-ahli parti pembangkang khususnya Pas sedang bangkit dengan semangat baru dan bersedia untuk menghadapi pilihanraya yang dijangka hampir tiba. Ini ditambah lagi dengan laporan akhbar hari ini tentang keputusan Majlis Tertinggi Umno bahawa pemilihan jawatan dalam parti itu tidak akan diadakan sehingga selepas pilihan raya umum akan datang. Sebagaimana yang kita maklum bahawa tahun pemilihan dalam perhimpunan agung Umno jatuhnya pada tahun depan, maka ada penganalisis politik yang mengatakan bahawa tidak mustahil bahawa pilihanraya akan diadakan selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun hadapan. Tepat atau tidak jangkaan itu, yang pentingnya bagi pekerja-pekerja dalam Pas ialah sentiasa bersedia dalam apa juga kemungkinan.

Akhbar hari ini juga melaporkan tentang pendedahan ahli parlimen Marang bahawa wujud 300 pengundi hantu dalam Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang yang dimenangi Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada Mac 2004. Persoalannya di sini, bagaimana sudah hampir tiga tahun berlalu baru sekarang mereka boleh pula nampak bahawa adanya pengundi hantu yang memenangkan Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang? Sedangkan dalam hal ini kita lihat pembangkang dapat mengesan kehadiran pengundi hantu lebih awal dan terus membuat petisyen sejurus selepas keputusan pilihanraya diumumkan. Di sini juga kita mempersoalkan bagaimana sebuah parti pembangkang Pas yang hanya menguasai sebuah negeri mampu untuk mewujudkan pengundi hantu sedangkan parti tersebut tidak menguasai instrumen-instrumen kerajaan seperti SPR dan Jabatan Pendaftaran.

Dalam akhbar ini juga ada menyebut bahawa Dun Rhu Rendang diakui sebagai kubu kuat Pas sejak tahun 1986. Sebagaimana yang telah kita maklum bahawa sudah menjadi amalan Umno dan Barisan Nasional sejak turun temurun dengan memasukkan pengundi hantu bagi menggempur kubu-kubu kuat parti pembangkang, apapagi ianya ditandingi oleh Presiden Pas sendiri. Jadi mungkinkah di sini bahawa 300 orang yang didakwa pengundi hantu itu sebenarnya adalah pengundi yang telah dipindahkan sendiri oleh Umno dalam usaha mereka untuk merampas kembali Terengganu. Dan jika benar pun 300 itu adalah pengundi Pas, maka kita juga mahu mempersoalkan bagaimana Umno boleh mengetahui mereka ini mengundi parti mana dalam pilihanraya dan adakah ini bermakna bahawa tiada lagi kerahsiaan dalam undi rakyat?


RALAT - Di bawah tajuk 'KPDNHEP buntu kerana gula,' pada perenggan akhir baris ke tujuh hingga ke sepuluh hendaklah dibaca, "Di sini juga kita nampak seolah-olah bahawa KPDNHEP tidak akan tunduk dan menyerah kalah dengan strategi penyuruk bekalan gula, tetapi mengambil langkah mudah apabila mengimpot 80,000 tan metrik gula yang sebenarnya akan mendatangkan kerugian kepada negara." Saya memohon sedalam-dalam maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan ini.

posted by Lidah Penghunus @ 2:27 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter